MARANG 28 Nov. - Dua beradik melalui pengalaman mengerikan apabila mereka nyaris terkena tembakan peluru sesat yang dilepaskan seorang perompak di luar sebuah kedai emas di pekan Wakaf Tapai dekat sini hari ini.
Ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Foo Yong Kent, 9, dan Foo Yong Jack, 6, sedang berada di dalam kereta menunggu ibu mereka, Wee Sow Tian, 46, membasuh tangan di kedai milik keluarga itu sebelum ke bandar Kuala Terengganu.
Satu das tembakan yang dilepaskan perompak itu menembusi cermin hadapan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dinaiki kanak-kanak itu namun mujur ia tidak mengenai mereka.
Meskipun dua kanak-kanak itu terselamat dan tidak mengalami kecederaan, mereka kini berada dalam keadaan trauma berikutan kejadian tersebut.
Ketika tembakan peluru sesat itu dilepaskan, Yong Kent berada di tempat duduk depan sebelah pemandu manakala adiknya, Yong Jack di kerusi belakang.
Tembakan dilepaskan perompak terbabit ke arah pemilik kedai emas sebelum melarikan diri bersama rakannya dengan sebuah motosikal menghala ke Bukit Payong.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, tembakan itu dilepaskan sebaik sahaja penjenayah itu terserempak dengan pemilik premis berkenaan ketika cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, pemilik kedai emas terbabit terselamat kerana dia sempat mengelak dengan menyorok di tepi sebuah kereta.
"Kedua-dua penjenayah sebelum itu melarikan satu dulang barang kemas bernilai RM10,000 setelah merompak kedai emas itu menggunakan sepucuk pistol dan tukul besi," katanya di sini hari ini.
Berikutan itu, polis melancarkan operasi memburu dua penjenayah terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di talian 09-6812222 bagi membantu siasatan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment