2011/08/25
MELAKA: Dua lelaki warga negara Nigeria dan seorang wanita rakyat tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh menipu seorang guru RM146,600 dengan menawarkan kertas hitam yang kononnya boleh ditukar menjadi dolar Amerika Syarikat dengan menggunakan sejenis cecair kimia.Obi Uzoma, 28; Nwabudike Emmanual Chukwuma, 28, dan Azlinda Hussain, 38, didakwa bersama-bersama dua lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Public Bank cawangan Masjid Tanah dan CIMB Bank cawangan Masjid Tanah dekat sini pada 29 Jun lalu.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Dua warga negara Nigeria itu memasuki negara ini menggunakan pas pelajar sejak tiga tahun lalu manakala Azlinda dari Bandar Baru Bangi adalah kerani di sebuah kedai tayar.
Hakim Zaharah Hussain menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Azlinda diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Beliau tidak membenarkan dua warga Nigeria itu diikat jamin selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, yang bimbang mereka akan melarikan diri dari Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment