DOMINIQUE Strauss-Kahn dan isterinya keluar dari bangunan Mahkamah Tinggi di New York kelmarin. |
NEW YORK - Bekas Ketua Dana Kewangan Antarababangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn dibebaskan daripada semua dakwaan melakukan jenayah seks ke atas seorang pekerja Hotel Sofitel, Nafissatou Diallo oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Michael Obus kelmarin.
Hakim itu mengambil masa selama beberapa minit untuk meluluskan permintaan daripada pihak pendakwa raya untuk menggugurkan kes tersebut.
Menurut pihak pendakwa raya, pengguguran kes itu dibuat hasil daripada penipuan yang berterusan yang dilakukan oleh pekerja hotel tersebut dalam kes tersebut.
Strauss-Kahn ditangkap pada 14 Mei lalu semasa dia berada dalam sebuah pesawat menuju ke Perancis di sebuah lapangan terbang di sini selepas dia didakwa melakukan serangan seks ke atas Diallo termasuk tuduhan cubaan merogolnya.
Dia kelihatan lega semasa meninggalkan bangunan mahkamah setelah hakim tersebut membebaskannya.
"Ini merupakan penamat sesuatu yang dahsyat dan pengalaman yang tidak sepatutnya," kata Strauss-Kahn kepada pemberita di luar kediamannya di Lower Manhattan.
Dia yang berusia 62 tahun turut menyatakan dirinya dalam keadaan bersemangat untuk pulang ke tanah airnya di Perancis.
Skandal itu menyebabkan reputasinya terjejas yang menyebabkan dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF dan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Perancis tertangguh.
Pejabat Peguam Daerah mempertahankan keputusan untuk menggugurkan kes itu dengan menyatakan tidak ada bukti kukuh berlakunya serangan itu walaupun terdapat bukti awal bahawa kemungkinan berlakunya paksaan dalam satu perlakuan seks.
Menurut pejabat itu, pekerja itu sendiri tidak lagi boleh dipercayai.
Menurut pendakwa raya, Diallo secara berterusan tidak bercakap benar semasa menggambarkan kejadian ketika dia cuba dirogol oleh Strauss-Kahn.
Peguam Daerah, Cyrus Vance mengeluarkan satu kenyataan bagi mewajarkan permintaan untuk menggugurkan kes itu.
"Jika kami tidak dapat meyakinkan melebihi satu keraguan munasabah bahawa satu jenayah sudah dilakukan, berdasarkan bukti yang kita ada, kita tidak dapat meminta juri untuk menyabitkannya (Strauss-Kahn)," katanya. - Agensi, kosmo
No comments:
Post a Comment