Pages

Saturday, July 23, 2011

Pembelaan tutup kes

SHAH ALAM: Pihak pembelaan dalam kes Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan di Mahkamah Sesyen di sini, menutup kesnya, semalam.

Peguam M Athimulan memaklumkan semalam selepas saksi pembelaan kedua, pakar siasatan tempat kejadian jenayah (CSI), Amidon Anan, selesai memberikan keterangannya. Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh hujahan pada akhir kes pembelaan. Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.


Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mangsa disahkan maut akibat luka tembakan di kepala.


Pada prosiding, semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad, manakala pembelaan diwakili Salim Bashir.


Sepanjang kes peringkat pembelaan, tiga saksi memberi keterangan.

Terdahulu, Amidon, 60, yang dijemput untuk memberi pendapat kedua dalam kes itu ketika disoal semula Salim berkata, beliau tidak mengenal pasti penembak sebenar menyebabkan kematian Aminulrasyid. Bekas Ketua Unit CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur berkata, ini berdasarkan keterangan saksi pada prosiding terdahulu bahawa ada dua penembak yang melepaskan tembakan. Selain itu, saksi yang berpengalaman mengendalikan kes berprofil tinggi seperti pembunuhan Altantuya Shaaribu dan Canny Ong berkata, ia juga kerana ada tiga unit kereta peronda (MPV) terbabit dalam kejadian itu. Katanya, anak peluru daripada kepala Aminulrasyid yang diperoleh daripada hospital juga tidak dapat dibandingkan dengan dua senjata api yang diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk analisis.


“(Perkara) yang menjadi tanda tanya kepada saya sebagai pengamal ilmu sains forensik, anak peluru daripada kepala mangsa (Aminulrasyid) tidak dapat dikenal pasti datangnya daripada senjata yang mana,” katanya.

myMetro | Pembelaan tutup kes

No comments: