KUALA LUMPUR - Kegiatan haram dua wanita tempatan yang bersekongkol dengan seorang lelaki Nigeria membeli barangan elektrik curi untuk dijual ke Afrika sejak enam bulan lalu terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Fadason di sini Selasa lalu.
Dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, polis merampas pelbagai barangan seperti televisyen, komputer, peti sejuk, mesin basuh, radio, kipas, mesin pencetak dan bedak bayi yang dianggarkan bernilai RM200,000.
Difahamkan, suspek membeli barangan curi tersebut di kedai di sekitar Lembah Klang dengan harga murah sebelum diseludup ke Afrika menggunakan kapal kontena ekoran permintaan tinggi di negara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis diketuai Asisten Supritendan Hussin Junus telah menyerbu gudang berkenaan ketika sekumpulan lima hingga lapan lelaki Nigeria dan dua wanita berada di premis tersebut.
Katanya, suspek kemudian bertempiaran lari dan hanya tiga termasuk dua wanita terbabit berusia di antara 25 dan 44 tahun yang dapat ditahan.
"Siasatan mendapati lelaki Nigeria berusia 25 tahun yang mendakwa sebagai pelajar sebuah kolej di ibu negara itu memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen. Dia juga mendakwa bekerja sebagai penjaga gudang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment