Pages

Saturday, July 23, 2011

2 sahabat dihukum mati


KE TALI GANTUNG...Mohd Za’ba  (baju merah) dan Musa dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.
KE TALI GANTUNG...Mohd Za’ba (baju merah) dan Musa dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.


SHAH ALAM: Seorang penjual kuih dan rakannya, peniaga kedai runcit dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar hampir lima kilogram (kg) ganja berhampiran taman permainan di Petaling Jaya, dekat sini, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap Mohd Za’ba Abdul Talib, 25, dan Musa Maarof, 43, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abdul Alim pada penghakimannya berkata, mahkamah menerima keterangan saksi pendakwaan bahawa sumber polis membawa kepada penangkapan Mohd Za’ba dan Musa bersama-sama dadah di tempat kejadian.

Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Za’ba dan Musa didakwa mengedar 4.894 kg ganja, di Jalan 16, Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya, kira-kira jam 8.30 malam, 10 Jun 2009.


Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong.


Berdasar keterangan saksi pendakwaan, polis menerima maklumat bahawa seorang lelaki Melayu mahu menjual lima kg ganja pada harga RM2,500 untuk sekilogram.

Ini membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh di tempat kejadian.

Kedua-dua tertuduh ketika diperintah membela diri menafikan dadah itu milik mereka.

Sebaliknya, Mohd Za’ba memberitahu mahkamah dia berada di tempat kejadian kerana mahu mengutip hutang daripada seorang perempuan yang meminjam duitnya.
myMetro | 2 sahabat dihukum mati

No comments: