AMPANG: Tiga beradik dipercayai menjadi mangsa dera abang dan kakak mereka sejak beberapa bulan lalu di rumah mereka di Desa Permai, di sini, berdasarkan kesan lebam pada badan ketiga-tiga kanak-kanak itu.
Difahamkan, tiga beradik terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara lapan dan 13 tahun itu tinggal bersama abang dan kakaknya yang berusia lewat 20-an ketika kejadian.
Ibu bapa mereka pula dikatakan berada di luar negara.
Menurut sumber, jiran mengesyaki ketiga-tiga beradik itu didera menghubungi talian Nur sebelum sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumah mereka, semalam.
Ketika kehadiran pasukan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, ketiga-tiga mangsa berada di rumah bersama kakak dan abangnya itu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu mempunyai kesan lebam pada seluruh badan disyaki kesan dera.
“Berikutan itu, adik-beradik terbabit dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya menunggu laporan perubatan selain tiada tangkapan dibuat sehingga semalam.
No comments:
Post a Comment