BEGINILAH keadaan treler yang membawa muatan gelung besi selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan Mayandy dan Ravi mati di Seremban semalam. |
SEREMBAN - Seorang pemandu dan kelindan sebuah treler maut selepas kenderaan yang mereka naiki itu merempuh belakang sebuah lagi treler membawa muatan kereta di Kilometer 264.6, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan di sini semalam.
Kejadian pukul 6 pagi itu menyebabkan M. Mayandy, 38, dan B. Ravi, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan lapan buah kereta jenis Proton Persona berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan tayar.
Katanya, tidak lama kemudian, treler membawa muatan gelung besi yang dinaiki mangsa telah merempuh belakang kenderaan terbabit.
"Rempuhan itu menyebabkan treler mangsa terhumban ke dalam parit bersama muatannya. Kedua-dua mangsa dari Simpang Renggam dan Segamat, Johor mati di tempat kejadian," katanya di sini semalam.
Menurutnya, Mayandi yang tersepit di tempat pemandu cedera parah di kepala dan badan manakala Ravi tercampak kira-kira lima meter dari kenderaan itu.
Kosmo! Online - Negara
No comments:
Post a Comment