Pages

Monday, June 13, 2011

Perang Libya merebak


BENGHAZI: Kumpulan suku kaum yang menentang Muammar Gaddafi bertempur dengan tentera yang setia kepada pemimpin Libya itu di bandar Sabha, sebuah kawasan oasis.
Perkembangan itu berlaku ketika tentera Gaddafi melancarkan serangan baru terhadap beberapa kawasan penting, kata pemberontak.

Pertempuran baru itu dilancarkan ketika Turki mengumumkan ia menawarkan jaminan kepada Gaddafi untuk meninggalkan Libya sementara duta Russia, Mikhail Margelov berkata, dia akan melawat Tripoli beberapa hari lagi bagi membantu mencari penyelesaian kepada konflik di negara Afrika utara itu.

Pejuang dari suku kabilah Awlad Suleiman yang menentang Gaddafi dilapor berjaya ‘membebaskan’ beberapa jalan raya di Sabha, 800 kilometer ke selatan Tripoli yang sebelum ini menjadi kubu kuat penyokong pemimpin Libya itu.

Sumber pemberontak berkata, tentera Gaddafi menembak mati seorang lelaki di bandar berkenaan.


Sabha yang mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 100,000 dan pangkalan sebuah pasukan penting tentera, sebelum ini tidak terbabit dengan kekacauan yang melanda sebahagian besar wilayah utara negara itu sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan 40 tahun Gaddafi bermula pertengahan Februari lalu.

Pertempuran di bandar pertanian itu berlaku ekoran tunjuk perasaan anti-Gaddafi di situ, menurut kenyataan yang dikeluarkan pemberontak di Benghazi.

“Tunjuk perasaan besar-besaran berlaku Jumaat lalu di daerah Mansheya, di Sabha. Golongan muda mengumumkan sokongan mereka kepada revolusi 17 Februari. Mereka mengibarkan bendera kemerdekaan dan menuntut Gaddafi meletak jawatan. “Bagaimanapun, tentera Gaddafi, ada yang berpakaian preman, melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.

“Dua penunjuk perasaan terkena tembakan. Mereka dibawa ke hospital dan ditahan oleh penyokong Gaddafi,” menurut kenyataan itu.

Pemberontak juga berkata, tentera Gaddafi melancarkan serangan meriam terhadap Ghadames, sebuah lagi bandar oasis, kira-kira 600 kilometer ke barat daya Tripoli, berhampiran sempadan Tunisia dan Algeria.


Dikenali sebagai ‘permata padang pasir, kawasan oasis Ghadames itu termasuk dalam senarai Warisan Dunia Unesco.


“Kami merayu Unesco melindungi bandar purba itu,” kata pemberontak berkenaan. - AP
myMetro | Perang Libya merebak

No comments: