NEWPORT BEACH, California 6 April - Jutawan Britain, Sir Richard Branson semalam mendedahkan hasratnya untuk mengemudi sebuah kapal selam 'terbang' mini ke dasar laut dalam satu lagi penjelajahan memecahkan rekod terbarunya.
Kapal selam Virgin Oceanic akan menyelami dasar paling dalam, di lima lautan di dunia, dalam satu cubaan memecah rekod yang julung-julung kali dilakukan, bermula dengan dasar paling dalam di perairan barat Pasifik tahun ini.
"Dengan kejayaan manusia yang telah lama menawan angkasa lepas, cabaran terbaru kita adalah menjelajah dasar lautan yang paling dalam.
"Saya rasa lebih ramai individu berjaya ke bulan berbanding berada 6,096 meter di bawah paras laut," kata Branson semasa memperkenalkan projek tersebut di Newport Harbor di sini, semalam.
Jutawan itu akan berkongsi tugas mengemudikan kapal selam berbentuk kapal angkasa itu dengan penjelajah Chris Welsh dalam lima jelajah yang akan dilakukan dalam tempoh dua tahun.
Sekiranya rancangan itu berjalan lancar dan ujian tekanan ke atas kapal selam itu berjaya, jelajah pertama yang dikemudikan Welsh akan dilakukan di Mariana Trench yang mempunyai kedalaman 11,033 meter di Lautan Pasifik tahun ini.
Jika misi itu berjaya dilaksanakan, ia akan menyamai pencapaian kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) iaitu Bathyscaphe Trieste yang pernah sampai ke Mariana Trench pada 23 Januari 1960.
Virgin Oceanic yang dilengkapi struktur seakan-akan sayap mampu 'terbang' sehingga 10 kilometer di atas dasar laut, beroperasi selama 24 jam dan boleh merakamkan hidupan marin yang tidak pernah dilihat. - AFP
No comments:
Post a Comment