Pages

Thursday, April 7, 2011

Menteri Luar baru Libya diumum




Abdelati Obeidi


TRIPOLI 6 April – Timbalan Menteri Hal Ehwal Eropah, Abdelati Obeidi hari ini dinamakan sebagai Menteri Luar baru Libya bagi menggantikan Mussa Kussa yang berpaling tadah kepada Barat minggu lalu.
Pengumuman tersebut dibuat Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaim.
Obeidi yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri dan memegang portfolio Kementerian Luar sebelum ini, pernah mengetuai perkhidmatan risikan Libya dari 1994 hingga 2009 dan sering menjadi tempat rujukan pemimpin negara, Muammar Gaddafi.
Sementara itu, ketua pemberontak Libya hari ini menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai terlalu lambat mengarahkan serangan udara untuk melindungi rakyat, sekali gus membenarkan tentera Gaddafi membunuh penduduk di Misrata.
“NATO dari semasa ke semasa sering melancarkan serangan dan membiarkan penduduk Misrata mati setiap hari. Kami kecewa dengan NATO,” kata Abdel Fattah Younes di kubu kuat pemberontak di Benghazi.
Katanya, bilangan serangan udara juga tidak berkurangan sejak NATO mengambil alih kuasa tentera daripada tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis pada 31 Mac lalu.
Seorang jurucakap pemberontak semalam berkata, tentera Gaddafi terus membedil bandar itu.
“Misrata diserang dengan kereta kebal, tembakan meriam dan mortar. Operasi NATO nampaknya tidak membantu di Misrata, semakin ramai penduduk maut setiap hari,” katanya. – AFP/ Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: