SEBUAH pesawat Boeing 737-300 berada di Lapangan Terbang Bob Hope di Burbank, California pada Isnin lalu. |
WASHINGTON - Pembuat pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing kelmarin mencadangkan agar ratusan pesawat 737 buatannya diperiksa selepas sebuah pesawat syarikat penerbangan Southwest Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas pada minggu lalu.
Sebuah pesawat 737-300 berkenaan yang membawa 123 orang mendarat cemas di negeri Arizona pada Jumaat lalu selepas sebuah lubang ditemui pada bumbungnya yang menyebabkan kehilangan tekanan dalam kabin.
Susulan insiden itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan memeriksa sekitar 175 buah Boeing 737 yang telah berlepas dan mendarat lebih 30,000 kali.
Ketua jurutera Boeing untuk pesawat 737, Paul Richter berkata, pesawat 737 yang disarankan diperiksa itu adalah yang beroperasi antara tahun 1993 dan 2000.
Pesawat 737 digunakan di serata dunia dan pemeriksaan mengambil masa lima hari, kata Richter dalam satu sidang video, tanpa mendedahkan nama syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat tersebut.
Menurutnya, pihak Boeing telah menjangkakan rekahan akan berlaku pada badan pesawat 737 tetapi ia biasanya akan berlaku lama selepas pesawat itu memenuhi had kitaran 30,000 penerbangan seperti yang disarankan oleh FAA.
"Perancangan kami sebelum ini adalah untuk mencadangkan pemeriksaan apabila jumlah penerbangan pesawat 737 mencecah 60,000 penerbangan," katanya - AFP
Kosmo! Online - Dunia
No comments:
Post a Comment