ISLAMABAD 7 Okt. – Pakistan belum bersedia untuk membuka semula pintu sempadan penting yang digunakan oleh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menghantar bekalan ke Afghanistan, walaupun Amerika Syarikat (AS) sudah memohon maaf kerana serangan helikopter tanpa juruterbang yang membunuh dua askar Pakistan.
AS dan NATO mengucapkan takziah semalam atas serangan pada 30 September lalu dan mendakwa helikopter Amerika itu menyangka askar Pakistan itu adalah pemberontak yang diburu cuba menyeberangi sempadan Afghanistan.
Berikutan permohonan maaf itu, pihak AS dan NATO menjangka pintu sempadan Torkham di Genting Khyber akan dibuka tidak lama lagi.
Namun, jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Abdul Basit hari ini berkata, pihak berkuasa masih menilai situasi dan akan membuat keputusan ‘bila tiba masanya’.
Pakistan menutup Torkham kepada konvoi bekalan NATO pada hari serangan helikopter itu, menyebabkan beratus trak terkandas di lebuh raya negara ini atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di satu-satunya laluan yang masih dibuka dari selatan Pakistan ke Afghanistan.
Puak militan mengambil kesempatan daripada kebuntuan itu untuk menyerang trak yang terkandas atau yang mengambil laluan dari selatan.
Penyerang bersenjata membakar 70 lori tangki minyak dan membunuh seorang pemandu dalam dua serangan semalam.
Duta AS ke Pakistan, Anne Patterson dalam kenyataannya semalam berkata, ‘kami memohon maaf kepada Pakistan dan keluarga kepada askar-askar sempadan yang terkorban dan cedera’.
Siasatan AS dan NATO mendapati askar-askar Pakistan melepaskan tembakan ke arah dua helikopter AS sebelum serangan itu, dipercayai untuk memberitahu tentang kehadiran mereka selepas helikopter tersebut memasuki ruang udara Pakistan beberapa kali. – AP
No comments:
Post a Comment