Pages

Friday, October 8, 2010

Banjir di Vietnam semakin buruk



Seorang penduduk mengharungi banjir di sebatang jalan utama di bandar Qionghai, wilayah Hainan akibat hujan lebat, kelmarin. – REUTERS


HANOI 7 Okt. – Banjir di bahagian tengah Vitenam semakin buruk dengan jumlah korban kini mencecah 140 orang, sementara banjir di selatan China pula memaksa 130,000 penduduk berpindah.
Jumlah baru angka kematian di Vietnam itu diperoleh selepas pegawai bencana tiba ke kawasan terpencil itu, yang sebelum ini terputus hubungan akibat paras air yang tinggi.
Seramai 23 yang lain dilapor masih hilang ketika penduduk kampung dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.
“Penduduk kampung giat membersihkan rumah mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
“Banyak sekolah turut menjalankan operasi pembersihan bagi membolehkan sesi persekolahan disambung semula,” kata pegawai bencana, Nguyen Ngoc Giai di Quang Binh, wilayah paling teruk terjejas akibat banjir, di mana lebih kurang 20,000 penduduknya terpaksa dipindahkan.
Giai berkata, perkhidmatan kereta api menghubungkan utara dan selatan Vietnam turut mengalami gangguan di beberapa bahagian sejak Selasa lalu ekoran kerosakan landasan.
Tambah beliau, cuaca buruk semalam turut mengakibatkan operasi menggugurkan bantuan makanan melalui helikopter ke beberapa kawasan yang masih ditenggelami air tergendala.
Pakar kaji cuaca meramalkan, hujan akan terus turun.
Sementara itu, banjir terburuk yang melanda selatan China dalam tempoh setengah kurun, memaksa 130,000 penduduk berpindah.
Agensi berita Xinhua melaporkan, hujan lebat melanda wilayah pulau Hainan, memaksa 550 penduduk berpindah selain jalan-jalan dinaiki air mengalami kerosakan. – AP

No comments: