Pages

Friday, October 8, 2010

Michelle Obama wanita paling berpengaruh




NEW YORK 7 Okt. - Michelle Obama muncul wanita paling berpengaruh di dunia, mengenepikan ketua-ketua negara, ketua eksekutif syarikat dan selebriti dalam senarai tahunan itu, yang dikeluarkan majalah Forbes, semalam.
Menurut Forbes, Wanita Pertama Amerika Syarikat AS itu dipilih mendahului senarai tersebut kerana beliau 'memegang jawatan itu dengan caranya tersendiri' dan kekal popular.
"Michelle, dalam satu cara berkesan menunjukkan karismanya, White House menampilkan beliau dalam kempen-kempen bagi mengutip derma untuk negeri-negeri bermasalah seperti California dan Colorado.
"Dia juga menjalankan tugas dengan amat baik. Sebagai respons kepada kempen 'Let's Move' untuk mengatasi obesiti di kalangan kanak-kanak, syarikat seperti Coca-Cola, Kellogg dan General Mills telah berjanji untuk menurunkan kandungan kalori dalam produk mereka menjelang 2015," jelas Forbes.
Ketua Eksekutif Kraft Food, Irene Rosenfeld, yang mengetuai pengambilan alih syarikat Cadbury di Britain dalam satu urusniaga bernilai AS$18 bilion (RM57.6 bilion) berada di tempat kedua, diikuti pengacara rancangan temubual terkenal, Oprah Winfrey di kedudukan ketiga.
Canselor Jerman, Angela Merkel, yang dipilih bagi penggal kedua tahun lalu, berada di tempat keempat sebagai wanita paling berpengaruh di dunia, sementara Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang bertanggungjawab mengendalikan rundingan damai Asia Barat berada di tempat kelima.
Naib Presiden dan penerbit ForbesWoman, Moira Forbes berkata, wanita yang berada dalam senarai majalah perniagaan tersebut merupakan mereka yang 'berjaya mempengaruhi kebanyakan perbincangan penetapan agenda masa kini'.
"Mereka membina syarikat dan jenama, yang kadangkala berada di luar kemampuan wanita dan mereka mengatasi jurang jantina dalam bidang perdagangan, politik, sukan, media dan budaya, sekali gus mempengaruhi kehidupan berjuta-juta dan berbilion-berbilion penduduk," katanya.
Forbes pada tahun ini mengambil kira pengaruh kreatif dan daya keusahawanan seseorang wanita dalam senarai tersebut berbanding faktor kekayaan dan kuasa yang digunakan pada tahun lalu.
merkel mengungguli senarai wanita paling berpengaruh di dunia pada tahun lalu, diikuti Pengerusi Federal Deposit Insurance Corp, Sheila Bair, sementara Michelle hanya menduduki tempat ke-40. - Reuters

No comments: