Oleh - Dr Mohd Asri Zainul Abidin Seminggu dua ini saya agak sibuk dengan banyak lawatan. Selama seminggu saya berada di China, melawat Shanghai, Xian dan Beijing. Lawatan ke China itu rasmi. Pulang sahaja dari China saya ke Kaherah dan Iskandariah, Mesir, itu lawatan separa rasmi. Ini bukan kali pertama saya ke Mesir, sudah beberapa kali. Namun, lawatan saya ke Beijing, selepas itu ke Kaherah membuatkan saya berfikir tentang realiti kita umat Islam hari ini. Ada beberapa persamaan antara Beijing dan Kaherah dari sudut sejarah ketamadunan silam. Kedua-dua kota ini menyimpan sejarah ketamadunan ribuan tahun lamanya. Di Beijing, ada Tembok Besar China yang merupakan salah satu perkara ajaib dunia. Tembok yang begitu besar dibina merentasi pergunungan sejauh 5000 kilometer. Bayangkan hebatnya manusia di China ketika hampir tiga ribu tahun yang lalu. Mengkagumkan! Di Mesir pula terdapat pyramid yang sudah berusia mungkin melebihi lima ribu tahun. Seni bina yang hebat. Ia juga salah satu perkara ajaib di dunia ini. Ya, kedua binaan itu juga menyimpan sejarah kezaliman dan kerakusan kuasa. Maka, berdasarkan kemampuan teknologi binaan, sepatutnya kedua-dua negara ini mampu menjadi negara yang maju, kerana tamadun di tempat mereka sudah lama bermula. Jika tidak pun di tempat teratas, mereka sepatutnya melangkah mendahului banyak negara lain. Ya, China memang maju ke hadapan dan sedang menjadi kuasa besar ekonomi dunia hari ini, setelah sekian lama menjadi kuasa besar senjata dunia. Malangnya, Mesir pula, terus mundur dan kotor, terus meminta ‘sedekah’ dan bantuan kewangan dari negara-negara besar. Hutangnya yang begitu tinggi menjadikan ia sering menghambakan diri kepada kuasa lain. China, dulu diperintah pelbagai mahajara. Mesir pula diperintah pelbagai firaun. Kemudian China digenggam oleh kuasa komunis. Moa Tse Tung, pemimpin China era komunis yang dianggap agung. Mayatnya diawet dan ribuan manusia mengunjungi mayat awet itu saban hari. Mereka sanggup dan sabar berbaris berkilomer jauhnya untuk lalu dan melihat mayat yang disimpan di Medan Tiananmen itu. Dari sudut penghayatan mana-mana agama, China boleh dikatakan terkebelakang disebabkan tekanan kuasa politik. Maka China dan komunis sukar dipisahkan walaupun usaha ke arah demokrasi itu bergerak, namun perjalanannya masih jauh. Sementara Mesir, ia dibuka oleh kerajaan Islam sejak zaman Umar Al-Khattab r.a. Sahabat Nabi 'Amr al-‘As pernah menjadi Gabenor Mesir. Umat Islam pernah cemerlang di Mesir. Islam disebarkan dan rakyat Mesir majoriti Muslim. Sejak dahulu, ramai tokoh ilmuwan pernah berada di sana, termasuk al-Imam al-Syafi’i r.h. Mesir terkenal kerana Universiti Al-Azhar. Hari ini ia diperintah aliran sosialis Arab, namun menjadi hamba Barat. Pun begitu, masih ramai yang beranggapan Mesir lambang ilmu Islam dan menara umat Islam. Malangnya, jika seseorang melawat Beijing, dia akan dapati begitu maju sekarang. Keretapi laju bawah tanah antara yang terpantas di dunia. Bandarnya berpenduduk sekitar 18 juta - bersih, cantik dan tersusun. Kita berasa aman untuk berjalan, penduduknya tahu untuk beratur apabila perlu, memandu ikut aturan bahkan China hari ini mementingkan kenderaan tidak cemarkan alam sekitar - keretapi dan bas elektrik digunakan. Jika ke Kaherah atau Mesir, keseluruhannya kotor dan tidak tersusun. Penduduk sekitar 18 juta, tetapi sampah-sarap jadi hiasan. Tabiat buang air kecil ke dinding bangunan masih dilakukan sesetengah rakyatnya. Kereta dan bas yang sudah uzur yang hanya kita lihat sebelum merdeka masih memenuhi jalan raya Kaherah. Peraturan jalan raya tiada makna. Round about sehala, boleh jadi dua hala ikut selera pengguna. Jalan sehala, boleh jadi dua hala. Sign board dan peraturan tidak memberi kesan. Tiada guna diadakan lampu trafik, sebab itu polis terpaksa jaga di setiap simpang sibuk. Sehingga, kononnya seorang arkitek Jerman yang cuba merangka semula Kaherah menyatakan, cara untuk baik pulih Kaherah ialah dengan hapus semua penduduknya dan digantikan dengan penduduk baru yang berdisiplin. Sungai Nil begitu tercemar. Sampah-sarap memenuhi sungai legenda itu. Rasa malu benar kita sebagai Muslim terhadap pelancong-pelancong Barat dan Jepun. Di Kaherah, jutaan penduduk hidup atas perkuburan lama kerana tiada tanah dan rumah. Kawasan perkuburan bagaikan pesta yang tengit penuh dengan bermacam bau. Tidak hairanlah jika ada tarikat dari Mesir yang gemar ke kubur dan memuja. Penduduk miskin dan fakir terlalu ramai. Tabiat menipu atau suka ‘pau’ berleluasa dan atas nama ‘bakhshish’ atau hadiah, rasuah; kezaliman dan penipuan berlaku di sana sini. Jika anda makan di restoran, di samping bayar harga, pekerja di situ akan menuntut wang ‘bakhshish’ untuknya. Itu mungkin masih kecil, tetapi bakhshish menjadi amalan pegawai-pegawai kerajaan; polis, kastam dan segalanya. Jika tidak diberikan, kerja tidak berjalan atau masalah lain timbul. Semasa ingin pulang, pelajar-pelajar Malaysia yang hantar saya mengingatkan supaya sedia wang ‘bakhshish’ sebelum memasuki airport. Di sana sini, 'bakhshish' menanti. Barang saya discan, polis airport meminta saya buka kotak-kotak yang mereka pun dapat tahu tiada apa luar biasa, sambil tangan mereka memberi isyarat mahukan wang ‘bakhshish’. Tanpa segan silu dan zalim, mereka meminta. Jika tidak diberi, barang tidak dilepaskan tanpa sebab. Maka, sesiapa pun terpaksa beri untuk mengelakkan kezaliman. Itulah kehidupan mereka. Kali yang lepas saya sampai di airport Kaherah, bas enggan bergerak sehingga pemandunya diberi wang ‘bakhshish’. Jangan ditanya lagi tentang penipuan di pasar atas nama Islam. Peniaga sanggup bersumpah dengan nama ‘Allah’ atau menyatakan ‘saya jual murah sebab awak Muslim’, padahal itu harga termahal. Hal ini berleluasa di kota yang ada pusat pengajian Islam. ‘Bakhshish’ menjadi simbol Mesir daripada rakyat bawahan sehingga orang politik, orang biasa sehingga bertitle agama. Walaupun kita sedar, masih ramai juga yang baik dan soleh, namun suasana tersebut telah menguasai keadaan. Pelajar kita di sana semua terpaksa berurusan dengan kerenah ‘bakhshish’. Di Beijing, hal ‘bakhshish’ tidak nampak jelas. Mungkin ada, tapi bukan simbol seperti Kaherah. Naikkan harga barang, ya! Itu memang ada, mungkin berlipat kali ganda dijual. Mungkin barang tidak asli dan pelbagai kemungkinan. Itu fenomena biasa di setiap kota. Bezanya, mereka tidak beragama, sementara Kaherah dianggap konon pusat pengajian agama. Bayangkan, jika seorang pelancong tidak beragama dan sedang mencari agama, pergi ke Kota Beijing tidak berslogan agama, bahkan prejudis dengan segala agama; namun didapati bersih, tersusun, berperaturan dan maju. Dia pergi pula ke Kaherah yang berslogan Islam sebagai agama rakyat, ulamanya pula dengan lantang menyatakan umat Islam umat terpilih, Islam membentuk kehidupan teratur di dunia dan pelbagai lagi. Apakah pelancong akan terpengaruh dengan Beijing atau Kaherah? Banyak persoalan akan timbul dalam benaknya. Orang Beijing sekurang-kurang mewarisi ketamadunan mereka. Orang Kaherah, tidak mewarisi teknologi firaun dan kecemerlangan sejarah Islam yang lepas. Saya membayangkan, jika maharaja-maharaja yang bina Tembok Besar China diberi peluang bangkit semula, mereka mungkin tidak boleh begitu bongkak disebabkan Beijing hari ini juga hebat dari segi pembangunannya. Namun, jika firaun yang membina piramid itu diberi peluang bangkit, dia mungkin akan terus bongkak dan berasakan dia masih patut mentadbir Mesir kerana mundur dan gagal menyainginya. Kita jangan hairan jika orang Barat prejudis dan menuduh Islam mundur, tidak beraturan. Mereka salah tafsir terhadap Islam kerana kita tersalah memberikan lambang. Beijingkah yang lebih mendekati wajah pembangunan Islam atau Kaherah? Kita mungkin mempunyai seribu huraian dan alasan, tetapi Barat dan Timur banyak melihat realiti berlaku. Terhijabnya hidayah Islam kerana perlambangan yang dirosakkan. Tersalah sangka terhadap kesesatan kerana kejayaan yang ditonjolkan. Siapa patut disoal? |
Friday, October 8, 2010
Antara Beijing Dan Kaherah
Labels:
asri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
salam ziarah. mmg betul. saya pernah ke beijing dan kaherah. mmg betul gambaran itu. malu jg sendiri.
salam,terima kasih kerana sudi ziarah ke blog saya.
selalu-selalulah singgah kat sini ye.
Post a Comment