Pages

Friday, October 8, 2010

Anak orang terkaya dunia akan berkahwin


MEXICO CITY 7 Okt. - Anak lelaki sulung orang terkaya di dunia, Carlos Slim akan melangsungkan perkahwinannya pada hujung minggu ini dalam satu majlis besar-besaran, yang dijangka dihadiri oleh jutawan, tokoh politik, bintang sukan dan ratusan tetamu lain.
Carlos Slim Domit, 43, yang merupakan peminat lumba kereta dan antara pewaris kepada kekayaan bernilai lebih AS$50 bilion (RM155 bilion), dijadual mengahwini Maria Torruco, anak seorang usahawan pelancongan Mexico dan cucu seorang aktres terkenal.
Majlis tersebut yang mulanya dirancang diadakan di muzium kesenian yang baru dibina oleh Carlos Slim, sebaliknya akan diadakan di sebuah hotel mewah di bandar raya ini, menurut sumber, semalam.
Slim Domit yang diberi gelaran 'el Charal' atau 'Ikan Kecil' kerana tubuhnya yang lampai mengetuai lembaga pengarah Telefonos de Mexico, penyedia perkhidmatan talian tetap Mexico.
Dua adik lelaki Slim Domit juga memegang jawatan kanan dalam syarikat-syarikat yang dikuasai bapa mereka, yang menduduki tangga teratas dalam senarai Forbes sebagai ahli perniagaan terkaya di dunia pada tahun ini, buat kali pertama mengatasi pengasas Microsoft, Bill Gates dan tokoh pelaburan AS, Warren Buffett.
Senarai tetamu termasuklah bekas Perdana Menteri Sepanyol, Felipe Gonzalez yang merupakan sahabat keluarga Slim, Presiden Mexico Felipe Calderon, seorang pewaris gedung fesyen Itali, Benetton dan Buffett sendiri. - Reuters

No comments: