NUBA Palestin 7 Okt. - Seorang wanita Palestin semalam menceritakan bagaimana dia 'dimalukan' apabila rakaman videonya yang diambil tentera Israel ketika dalam tahanan rejim Zionis itu, disebarkan ke laman web perkongsian YouTube.
Dalam rakaman itu, seorang tentera lelaki Israel menari tarian gelek berhampiran Ihsan al-Dababsi, 35, yang memakai tudung ketika matanya ditutup dengan kain dan menghadap dinding.
"Saya terlihat video itu di Al-Jazera. Saya tidak tidur sepanjang malam kerana saya rasa terhina dan kecewa.
"Suara tentera-tentera ketawa dan bunyi muzik itu terngiang-ngiang di telinga saya," kata wanita itu di kampung Nuba, selatan Tebing Barat kepada AFP.
Dalam video lebih satu minit itu, Dababsi yang digari dan ditutup matanya berdiri menghadap dinding, ketika tentera Israel tersebut menari tarian gelek berhampirannya dan membuat pergerakan tidak senonoh sambil diiringi muzik Arab.
Ketika insiden itu dirakam, wanita tersebut turut dilihat menyebut perkataan 'Allahuakbar' dalam bahasa Ibrani.
Dababsi berkata, dia telah menghubungi Kelab Penjara Palestin, sebuah kumpulan pembela bukan kerajaan dan berhasrat meneruskan tindakan undang-undang terhadap tentera Israel.
Insiden itu berlaku semasa dia ditahan pada Disember 2007 atas dakwaan menyertai anggota kumpulan pejuang Jihad Islam, menyebabkan dia terpaksa menjalani hukuman penjara selama 22 bulan.
"Saya dibawa ke pusat tahanan Etzion berhampiran Baitulaham. selepas disoal siasat, mereka meletakkan saya di satu kaki lima dalam keadaan digari dan ditutup mata.
"Saya boleh dengar tentera-tentera itu ketawa, suara mereka dan bunyi lagu. Saya boleh nampak apa yang berlaku kerana ikatan di mata saya tidak ketat dan saya merayu supaya mereka tidak merakam kejadian itu," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment