Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/10/08
REVATHY sayu melihat melihat gambar bayinya yang maut digigit kera liar di rumahnya di Taman Happy, Seremban, semalam.
SEREMBAN: "Saya melihat kera itu mencengkam leher bayi saya yang berlumuran darah dan melepaskannya sebentar, sebelum mengangkat semula sambil berundur beberapa langkah dan akhirnya melepaskan anak saya lalu melarikan diri," kata ibu bayi berusia empat hari yang mati digigit kera di Taman Happy di sini, kelmarin.
Ketika ditemui di rumahnya semalam, V Revathy, 26, berkata kejadian berlaku ketika dia selesai mandi dan memakaikan anak pertamanya itu pakaian sebelum ke tandas.“Saya letakkan anak di atas sofa berhampiran bapa mentua, A Valayutham, 70, tetapi terkejut sebaik keluar tandas apabila mendapati anaknya tiada dan bapa mentua pula tidak mengetahui di mana bayi itu berada.
“Saya berlari keluar rumah dan terkejut apabila melihat kera itu mencengkam leher bayi saya dan ia hanya melepaskan gigitan selepas kami menjerit menghalaunya,” katanya.
Revathy berkata, dia terus mengangkat bayinya yang berlumuran darah dan masih merasai denyutan jantung bayi terbabit, namun bayi itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).
Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari kelmarin, bayi perempuan yang belum diberi nama itu mati akibat kecederaan parah pada kepala, leher dan telinga akibat digigit kera liar yang dipercayai datang ke rumah itu kerana tertarik kepada seekor kera betina yang dibela keluarga berkenaan. Revathy berkata, suaminya sejak tujuh tahun lalu pernah dilepaskan ke hutan, tetapi kembali ke rumahnya.
Katanya, kera jantan yang menyerang bayinya itu memang kerap datang ke kawasan perumahan berkenaan berikutan tertarik dengan kera betina peliharaan keluarga suaminya selain mencari makanan dan sangat agresif, malah haiwan itu pernah beberapa kali bertindak seolah-olah mahu menerkam anggota keluarganya di luar rumah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Ishak Muhamad, mengesahkan kera yang ditembak kelmarin adalah haiwan sama menyerang mangsa.
“Pemeriksaan terhadap bangkai kera itu menemui beberapa kesan serangan terhadap mangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan anggotanya menembak kera itu dibuat mengikut prosedur standard kerana membabitkan serangan terhadap manusia.
No comments:
Post a Comment