Pages

Wednesday, October 20, 2010

Militan Chechen serang Parlimen



BEBERAPA anggota keselamatan mengawal bangunan Parlimen di Grozny, Chechnya semalam.


GROZNY, Rusia - Seramai empat orang militan Chechen menyerbu bangunan Parlimen Chechnya pada awal pagi semalam. Mereka menahan tebusan, menembak mati dua orang polis dan seorang orang awam sebelum empat pejuang tersebut dibunuh oleh anggota-anggota pihak berkuasa.
Peristiwa penuh dramatik itu nyata memberi tamparan hebat kepada Rusia yang sebelum ini mendakwa Chechnya sudah kembali stabil selepas kejatuhan Soviet Union.
Para pegawai memberitahu semua militan itu terbunuh selepas menawan bangunan Parlimen selama sejam.
Dua orang daripada mereka ditembak mati manakala bakinya membunuh diri dengan meletupkan diri dengan bom.
"Kami terdengar tembakan di halaman bangunan. Kami tahu mereka cuba menjadikan kami sebagai tebusan. Kami bagaimanapun berjaya melarikan diri ke tingkat tiga dan bersembunyi di sana sehingga semuanya berakhir," kata jurucakap Parlimen Chechen, Zelim Yakhikhanov.
Pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov memberitahu agensi beritaInterfax bahawa pihak keselamatan Chechen melakukan operasi selama 20 minit untuk membunuh militan dan membebaskan ahli Parlimen serta pekerja bangunan terbabit.
Kejadian itu juga menyebabkan 17 yang lain cedera.
Militan-militan itu menuju ke dalam bangunan Parlimen dengan menggunakan sebuah kereta dan berjaya melepasi kawalan keselamatan dengan mengikut sebuah kereta yang dipandu oleh seorang ahli Parlimen.
Speaker Dukuvakha Abdurakhmanov terpaksa dikeluarkan daripada bangunan Parlimen dengan menaiki sebuah kenderaan bersenjata dan beliau tidak cedera.
Menteri Dalam Negeri Rusia yang kebetulan dalam lawatan ke Grozny, Rashid Nurgaliyev menganggap operasi pasukan keselamatan untuk membebaskan ahli Parlimen sebagai berjaya selain mendakwa Chechnya adalah stabil dan selamat. - AFPhttp://www.kosmo.com.my

No comments: