LEDANG 19 Okt. - Lebih 200 ekor burung layang-layang serta berpuluh-puluh ekor ayam dikesan mati secara misteri di Kampung Parit Medan, Kundang Hulu sejak Isnin lalu.
Fenomena tersebut pada mulanya disangka biasa oleh penduduk kampung namun dengan jumlah kematian unggas bertambah dari sehari ke sehari, ia telah menimbulkan kebimbangan.
Seorang penduduk, Norodin Badri, 51, memberitahu, dia mula menyedari kematian burung layang-layang di sekitar kampungnya itu pada Isnin minggu lalu apabila melihat beratus-ratus bangkai haiwan tersebut.
"Memang banyak bangkai burung yang berselerak dan kira-kira 30 hingga 40 ekor di sekitar laman masjid, taman permainan serta tepi-tepi jalan di Kampung Parit Medan.
"Apa yang kita lihat, bangkai-bangkai burung ini berlonggok di bawah talian elektrik dan itu membuat kita menyangka ianya terkena renjatan elektrik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua bangkai burung itu telah ditanam penduduk kampung atau menjadi makanan kucing.
Bagaimanapun, kata Norodin, penduduk kampung semakin tertanya-tanya apabila kematian haiwan di kampung itu tidak hanya melibatkan burung layang-layang malah turut melibatkan ayam ternakan.
"Sehingga kini, saya telah bertemu dengan dua orang kawan dan masing-masing memberitahu yang kira-kira 20 ekor ayam mereka telah mati sejak Selasa minggu lalu," katanya.
Menurut seorang lagi penduduk, Tutini Paiman, 44, dia sendiri tidak faham bagaimana 20 ekor ayam miliknya mati secara misteri serentak dengan kematian burung layang-layang di kampungnya itu.
"Semalam sahaja, lima ekor ayam saya telah mati, memang tidak sempat nak sembelih sebab sebelum itu, ayam-ayam saya itu pening-pening lalat di sekitar rumah," katanya.
Katanya, dia berharap kejadian tersebut tidak membawa keadaan yang tidak diingini kerana kali terakhir ayam-ayamnya terkena penyakit sampar adalah dua tahun yang lalu.
Sementara itu, menurut Pegawai Perkhidmatan Veterinar daerah Ledang, Pauzan Kasni, pihaknya telah menerima laporan mengenai fenomena kematian beratus burung layang-layang itu minggu lalu dan siasatan sedang dilakukan bagi mengenai pasti punca kejadian.
"Begitupun, maklumat mengenai kematian ayam ini kami baru terima dan sepasukan pegawai veterinar dari Nusajaya akan datang esok bagi memeriksa sampel bangkai binatang ini dan kaitannya dengan kematian burung layang-layang," katanya.http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment