Monday, August 2, 2010
Pantau 188 stesen minyak
KUANTAN - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang (PPDNKK) memantau 188 stesen minyak di negeri ini bagi memeriksa tahap pematuhan pengusahanya terhadap arahan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing.
Arahan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 itu berkuat kuasa mulai semalam seluruh negara.
Pengarahnya, Mohd A Aruwan Abdul Aziz berkata, selain menjalankan rondaan, pegawainya juga akan ditempatkan di stesen minyak yang dikenal pasti menjadi tumpuan pelancong bagi memantau secara statik.
Menurutnya, semua pengusaha stesen minyak perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan itu atau berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961
“Kegagalan mematuhi arah itu menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 22 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM100,000 atau tiga bulan penjara bagi orang perseorangan dan RM250,000 bagi syarikat sendirian berhad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan pemeriksaan berkaitan arahan tersebut ke beberapa stesen minyak di sekitar Kuantan, semalam.
Mohd A Aruwan berkata, semua stesen minyak diminta menampal notis pemberitahuan di setiap pam untuk memudahkan pengguna terutama pelancong yang terlibat berhubung peraturan baru itu.
“Daripada 188 stesen minyak di negeri ini, kita dapati hanya 103 buah yang menjual petrol RON97 manakala selebihnya hanya menjual petrol RON95.
“Kita juga akan menampal notis pemberitahuan di stesen minyak yang tidak menjual petrol RON97 supaya pemandu kenderaan asing mudah mendapatkan bekalan itu di stesen-stesen berhampiran,” katanya.
Sementara itu bagi pengusaha stesen minyak Petronas Jalan Teluk Sisek di sini, Nohashimah Mansor berkata, pihaknya sudah membuat persediaan termasuk memaklumkan kepada pekerja berhubung arahan baru itu yang berkuat kuasa semalam.
Menurutnya, pemantauan akan dijalankan pekerjanya terutama yang bertugas di pam bagi memastikan tiada kenderaan menggunakan nombor pendaftaran asing membeli petrol RON95.
“Kami sedia bekerjasama dengan PPDNKK berhubung arahan ini dan ia tidak menjadi masalah walaupun tidak lagi menjual petrol RON97,” katanya.
Dia berkata, kebanyakan pelancong yang mengisi minyak di stesen minyaknya datang dari Singapura dan menginap di hotel berhampiran bagaimanapun mereka itu lebih selesa memilih petrol RON97.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment