Pages

Monday, August 2, 2010

3 negara contohi Malaysia tubuh agensi haji



IPOH 1 Ogos - Kejayaan Malaysia menguruskan umat Islam mengerjakan ibadah haji melalui Tabung Haji berjaya menarik minat beberapa negara Islam menggunakan pendekatan yang sama di negara mereka.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, tiga negara secara prinsipnya sudah bersetuju supaya Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) mewujudkan institusi kewangan seperti Tabung Haji di negara masing-masing.
"Melalui kerjasama dengan Bank Pembangunan Islam (IDB), kita sudah tandatangani perjanjian persefahaman bagi Amanah Raya mewujudkan institusi kewangan untuk orang Islam menabung bagi tujuan mengerjakan ibadah haji.
"IDB melalui agensi-agensinya dan Amanah Raya kini dalam proses untuk menubuhkan institusi kewangan seperti Tabung Haji di tiga negara Islam tersebut manakala Lembaga Tabung Haji pula menguruskan jemaah di Mekah," katanya tanpa menyatakan nama tiga negara berkenaan.
Beliau ditemui selepas menyampaikan surat kelulusan peruntukan berjumlah RM550,000 bagi tujuan pembinaan surau al-Hidayah di Jelapang Jaya dekat sini hari ini.
Menurut Ahmad Husni, sebahagian besar negara Islam tidak mempunyai sistem pengurusan jemaah haji yang sistematik seperti negara ini dan kebanyakannya mengerjakan Rukun Islam kelima itu melalui agensi pelancongan.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia boleh mengambil peluang tersebut untuk memperluaskan model pengurusan haji ke semua negara Islam yang tidak mempunyai institusi khas seperti Tabung Haji, sekali gus mengangkat martabat negara di mata dunia.
"Setiap tahun lebih 100,000 umat Islam di China mengerjakan ibadah haji dan bayangkan jika mereka ini pergi dengan Tabung Haji.
"Saya sudah beritahu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bahawa kita boleh mengadakan ekspo produk halal kita di China pada musim haji," katanya

No comments: