SHANGHAI 1 Ogos - Pengunjung ke ChinaJoy - ekspo permainan komputer terbesar di sini, disambut oleh gadis-gadis seksi di pintu masuk utama yang mengenakan but putih dan skirt mini serta terpampang nama pereka komputer di dada mereka.
Lebih 40 model memakai bikini, baju sendat dan topi keselamatan membantu mempromosi produk sebuah syarikat keselamatan Internet dengan mengagihkan kunci kecil dalam kotak yang direka menyerupai bungkusan kondom di dalam ruang ekspo yang riuh rendah dengan dentuman muzik dan pancaran lampu.
Peraturan kerajaan yang mengumumkan sekatan ke atas syarikat-syarikat permainan dalam talian menggunakan seks untuk mempromosi produk mereka memberi kesan kecil kepada pameran hiburan digital tahunan terbesar itu di negara ini yang berakhir hari ini.
"Yang paling menarik pada ekspo ini ialah gadis-gadis pameran, kata pengarah kanan bagi laman web Zol.com.cn, yang dimiliki syarikat penyiar Amerika Syarikat, CBS Corporation, Feng Gong.
"Gadis-gadis cantik dan produk-produk saling melengkapi antara satu sama lain dan ia adalah kombinasi yang sempurna," katanya.
Syarikat itu turut menaja pertandingan Miss ChinaJoy yang membolehkan pengguna laman web memilih model gerai kegemaran mereka.
Gadis-gadis pameran lebih menarik perhatian pengunjung, malah menjadi fenomena pada pameran-pameran di Asia berbanding permainan video dan para peserta menyifatkan negara ini telah membawanya ke satu tahap yang baru.
"Saya pernah menyaksikan pameran di Jepun dan Korea sebelum ini, mereka tidak mempunyai ramai gadis-gadis pameran.
"Bagi syarikat asing, ia lebih kepada mempamerkan produk. Kebiasaannya, eksekutif kanan akan membuat pertunjukan produk, tetapi kami menjemput pemain permainan video untuk bersaing dengan gadis-gadis pameran di atas pentas," kata pengarah perancangan pemasaran syarikat Shanda Games, Jay Jiang.
Syarikat yang tersenarai dalam pasaran saham NASDAQ berkata, ia mempunyai lebih ramai model berbanding peserta pameran di gerai yang bertemakan rancangan permainan televisyen, di mana 100 gadis yang duduk dikelilingi oleh pancaran lampu, menunggu untuk menyertai peraduan seperti siapa yang boleh meniup vuvuzela dengan kuat.
Eksekutif terkemuka untuk bahagian permainan syarikat China Mobile, Duanmu Wenlin berkata, industri teknologi maklumat di negara ini mempunyai persekitaran yang lebih terbuka dan sebagai wanita, dia menganggap tidak salah menggunakan model untuk mempromosi permainan. - AFP
No comments:
Post a Comment