- SUHAIMI MOKHTAR Pengendalian perang Afghanistan terdedah kepada satu dimensi baru apabila rahsia-rahsia peperangan itu yang kini memasuki 10 tahun didedahkan melalui 9,000 dokumen-dokumen rahsia yang di siarkan di laman maya Wikileak dan akhbar New York Times (AS), The Guardian (UK) dan Der Speigal (Germany). Pendedahan dokumen-dokumen rahsia tentang pengendalian perang sejak 2001 itu mendedahkan bagaimana peperangan itu dikendalikan yang mempamerkan pelbagai perkara yang selama ini tidak diketahui umum. Cara peperangan itu dikendalikan membolehkan mereka yang terlibat patut dihadapkan ke mahkamah antarabangsa kerana melakukan jenayah terhadap kemanusiaan. Pemimpin-pemimpin AS dan sekutu baratnya yang memulakan peperangan wajar dihadapkan ke mahkamah dunia di Belanda. Dokumen-dokumen itu memperincikan pengendalian perang selama hampir satu dekad itu menyalahi pengendalian perang mengikut undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva. Ia melanggari norma-norma yang terkandung dalam peperangan yang perlu dihormati oleh mereka yang terlibat dalam peperangan. Perincian di dalam dokumen itu mendedahkan wujudnya apa yang dinamakan pasukan khas 313 yang mempunyai fungsi khusus menghapuskan musuh dan apa juga halangan di hadapannya. Selalunya pasukan khas bertindak sebagai skuad pembunuh. Dokumen-dokumen itu juga menyebut bahawa angka kematian orang awam yang sebenarnya adalah lebih tinggi dari angka yang disebarkan kepada umum. Ada kematian orang awam yang tidak dilaporkan. Beberapa pendedahan awal ini sangat kritikal terhadap perang Afghanistan itu sendiri yang dimulakan oleh George W.Bush dengan menumbangkan pemerintahan Taliban dan kemudiannya secara unilateral menakluki dan menjajah bumi Iraq dengan menumbangkan regim Saddam Hussien. Dokumen rahsia itu dalam jumlah yang banyak dan tentulah lebih banyak perkara-perkara yang memeranjatkan akan terdedah nanti apabila ia diteliti satu persatu bagaimana pengendalian perang itu dilaksanakan. Dimensi baru dari peperangan ini memberi indikasi bahawa peperangan menentang keganasan atau war on terror yang dimulakan di Afghanistan tidak mungkin akan dapat dimenangi oleh kuasa-kuasa perang kerana ramainya pihak awam yang terkorban. Jumlah ramainya orang awam yang terkorban menggambarkan bahawa tidak mudah bagi kuasa penakluk dan penjajah untuk memenangi hati nurani rakyat dalam peperangan yang berlaku, bahkan ia meningkatkan simpat rakyat kepada para pejuang yang dianggap pengganas tetapi mereka mengatakan mereka adalah pejuang yang bangkit mempertahankan negara mereka. Regim Hamid Karzai sendiri yang diangkat oleh kuasa penakluk dan penjajah sering memberi kritikan dan kecaman pedas terhadap tentera multinasional Nato terhadap pengendalian perang mereka yang menyebabkan lebih ramai orang awam yang terkorban. Lebih ramai orang awam yang terkorban lebih meningkatkan lagi simpati rakyat dan umum terhadap para pejuang dan merumitkan lagi usaha kuasa penakluk dan penjajah untuk menukarkan arah perang untuk berpihak kepada mereka. Dalam situasi sedemikian tidaklah mudah bagi kuasa AS dan barat untuk mencapai matlamat kemenangan dalam peperangan yang dikendalikan mereka kerana ciri-ciri untuk mereka mencapai kemenangan tidak berpihak kepadanya. Para pejuang terus meningkatkan perjuangan mereka berdasarkan hakikat bahawa lebih ramai tentera AS dan sekutu Natonya yang terkorban. Ia adalah sebagai petunjuk bahawa serangan-serangan berani mati, bom kereta dan tepi jalan yang mereka laksanakan mencapai sasarannya. Tidak mudah untuk mengenal pasti pejuang Taliban kerana mereka berada di tengah-tengah masyarakat, kecuali mereka yang beroperasi di kawasan-kawasan pergunungan dan bukit- bukau. Disebabkan keadaan ini menyebabkan tentera AS dan Nato sering tersasar dalam serangan-serangan mereka menyebabkan orang awam menjadi mangsa yang terkorban. Para pejuang bergaul bersama masyarakat pada waktu-waktu tertentu dan pada waktu yang lain pula berperanan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pejuang menyebabkan tidak mudah bagi tentera AS dan Nato mengenali mereka. Dalam dokumen rahsia yang didedahkan tercatat juga nama-nama mereka yang mengambil upah menjadi perisik-perisik yang memberi maklumat kepada tentera AS dan Nato tentang aktiviti pejuang Taliban bagi memudahkan tentera penakluk mengatur strategi dan operasi dalam perang yang panjang ini. Pendedahan nama-nama ini meletakkan mereka yang mengambil upah sebagai perisik ini berada dalam bahaya dan mereka akan menjadi sasaran pihak pejuang Taliban untuk dimusnahkan. Dokumen-dokumen rahsia yang didedahkan ini juga menunjukkan betapa kebocoran maklumat berlaku di sana-sini dan tingginya kadar rasuah sepanjang pengendalian perang Afghanistan ini. Turut didedahkan dalam maklumat rahsia itu ialah bahawa agen –agen perisik Pakistan terlibat membantu pejuang Taliban dalam operasinya mensasarkan tentera AS da n Nato. Dakwaan ini bagaimana pun dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak perisikan Pakistan. Pendedahan ini agak anih kerana di satu pihak tentera Pakistan sedang melakukan serangan habis-habisan terhadap kedudukan Taliban Pakistan di Wazirstan dan di Pashwar, ibu wilayah North West Frontier (NWF) dan Lembah Swat, dekat Pashwar yang kini sedang dilanda banjir paling besar sejak 80 tahun lalu dan pada masa yang sama didakwa membantu pejuang Taliban di Afghanistan. Kesahihan maklumat rahsia ini masih menjadi tanda tanya dan pendedahan nya adakah disengajakan atau tidak disengajakan dan apa tujuannya masih tidak dapat dipastikan, tetapi Presiden Obama dalam kenyataannya telah mengecam kebocoran maklumat perang selama lebih sembilan tahun itu. Kecelaruan dalam pengendalian perang Afghanistan ini jelas terserlah bukan setakat berlakunya kebocoran maklumat rahsia ini tetapi juga berlakunya pertukaran pemerintah pimpinan tertinggi AS dalam perang Afghanistan ini. Perang Afghanistan atau perang menentang keganasan atau war on terror dari mula hari pertama lagi sudah tidak betul perjalanan dan pengendaliannya dan sentiasa di selubungi dengan sesuatu yang melakarkan bahawa ia suatu perlakuan jenayah perang dan kemanusiaan. *Penulis ialah Perunding Media di Kuala Lumpur. |
Monday, August 2, 2010
Orang awam korban Perang Afghanistan
Labels:
afghanistan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment