Anak tunggal bekas Presiden AS dan Setiausaha Negara AS itu melangsungkan perkahwinan dengan Marc Mezvinsky di Astor Courts, sebuah kediaman mewah bersejarah di kawasan seluas 20 hektar di tepi Sungai Hudson, 160 kilometer ke utara New York City.
"Hari ini kami dengan rasa sangat bangga dan gembira menyaksikan Chelsea dan Marc melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis yang indah di Astor Courts, dengan dikelilingi oleh ahli keluarga dan sahabat handai.
"Bagi pihak pengantin, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penduduk Rhinebeck kerana menerima kedatangan kami dan kepada semua orang yang mengirim ucapan selamat pada hari yang sangat istimewa ini," kata Bill dan Hillary Clinton dalam satu kenyataan.
Kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas pukul 7.30 petang semalam (8.30 pagi ini waktu Malaysia) tidak menyebut waktu sebenar majlis itu berlangsung.
Gambar yang dikirim menerusi e-mel kepada Reuters oleh pembantu Clinton menunjukkan pengantin perempuan dan lelaki berjalan seiring di lorong yang luas di antara barisan tetamu di luar kediaman tersebut.
Selain ibu bapa pengantin perempuan, tetamu terkenal lain yang kelihatan di Rhinebeck ialah bekas Setiausaha Negara AS dalam pentadbiran Clinton, Madeleine Albright, pasangan aktor-aktres Ted Danson dan Mary Steenburgen dan pereka fesyen, Vera Wang.
Turut kelihatan ialah hartawan hartanah yang juga penerbit filem, Steve Bing yang meminjamkan jet peribadinya kepada Bill Clinton untuk membawa pulang wartawan AS, Laura Ling dan Euna Lee dari Korea Utara pada Ogos tahun lepas setelah kedua-duanya ditahan selama empat bulan oleh rejim komunis itu.
Para tetamu dibawa dengan enam buah bas dari Rhinebeck ke Astor Courts pada kira-kira pukul 5 petang semalam (6 pagi ini waktu Malaysia).
Chelsea, 30, dan Mezvinsky, 32, seorang eksekutif bank pelaburan, mengenali satu sama lain sejak zaman remaja.
Senarai tetamu dilaporkan antara 400 hingga 500 orang tetapi tidak termasuk Presiden Barack Obama, untuk majlis perkahwinan yang diadakan dengan kawalan keselamatan ketat dan dianggarkan melibatkan belanja antara AS$3 juta (RM9.6 juta) hingga AS$5 juta (RM16 juta). - Reuters
No comments:
Post a Comment