Pages

Monday, August 2, 2010

Beirut sedia berdepan tentera regim Zionis

BEIRUT: Presiden Lubnan, Michel Sleiman berkata angkatan tentera negaranya sedia berhadapan dengan ancaman daripada regim Zionis.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pahlawan di Lubnan, semalam sambil menggesa supaya parti politik di negara itu bersatu dalam menghadapi musuh negara. Michel berkata, Beirut akan sentiasa menyokong hak rakyat Palestin dan membantu mereka pulang ke negara sendiri.
Beliau membuat kenyataan itu berikutan pencerobohan pesawat pejuang Israel di ruang udara Lubnan, minggu lalu.

Permusuhan regim Zionis dan Lubnan mencetuskan perang pada 2000 dan 2006. Perang 33 hari itu mengorbankan lebih 1,200 rakyat Lubnan yang kebanyakannya orang awam.

Perang berakhir selepas gerakan pejuang Hizbullah berjaya memaksa negara Yahudi itu berundur.

Bagaimanapun, ketegangan memuncak antara Lubnan dan Israel sejak beberapa bulan lalu selepas Beirut menahan beberapa perisik Tel Aviv.

Michel berkata, perisik Israel yang ditangkap itu akan didakwa kelak.

Lebih 12 individu termasuk kakitangan syarikat telekomunikasi di Lubnan ditahan sejak tahun lalu selepas disyaki bekerjasama dengan agensi risikan Israel, Mossad. - Agensi

No comments: