Pages

Saturday, July 24, 2010

'Dipukau' saudagar sari





BANYAK yang boleh diresapi fikiran seseorang jika baru kali pertama menjejakkan kaki di kota ini. Di jalanannya, aroma kuat rempah ratus, minyak ayurveda dan bunga melur bercampur-baur dengan bau yang meloyakan akibat kepincangan sistem kebersihan.
Semua itu menyatu dan menusuk hidung, terutamanya apabila tiba musim hujan. Walau apa pun tanggapan pertamanya, memang begitulah Mumbai. Kekurangan kota itu perlu dimaafkan kerana ada banyak lagi elemen pelancongan yang boleh dinikmati dan dihayati.
Selain landskap teluk dan pola bangunan yang tumbuh dari pelbagai era, ciri kontras Mumbai jelas terletak pada diversiti lapisan sosioekonomi masyarakatnya.
Ternyata, ciri unik itu terbentuk bukan sahaja daripada golongan elit dan bilionair yang tinggal di ruang residensi bernilai AS$2,000 sekaki persegi (RM67,200 semeter persegi) di satu petempatan mewah.
Populasi itu sebenarnya dilengkapkan golongan pertengahan dan juga kelompok gelandangan yang merempat di kaki lima dan setinggan berlumpur.
Ibu negeri Maharashtra yang menghadap ombak kuat Laut Arab itu kalau dilihat dalam kebanyakan poskad, banyak berhias deretan pencakar langit dan bangunan berciri Victoria.
Pemandangan itu disempurnakan dengan kehadiran lebih 100,000 beca motor roda tiga dan teksi hitam kuning - dua mod pengangkutan ikonik yang banyak kali dipromosi dalam filem-filem Hindi atau Tamil terdahulu.
Menyusuri jalan raya dengan dua pengangkutan tersebut selain bas dan kenderaan persendirian, kota ini juga bernyawa kerana kehadiran bazar jalanan yang banyak dirangkaikan bersama chawl atau pangsapuri kos rendah.
Semua bazar itu meriah dengan jualan variasi barangan harian, produk tekstil dan juga kraf pertukangan halus.
Menawar harga
"Mumbai adalah antara beberapa kota di India yang menawarkan pengalaman berbelanja terbaik. Kompleks moden dan butik berjenama eksklusif wujud bersama bazar tradisional dan gerai kaki lima," kata pemandu pelancong dari India Tourism, Tombi Singh.
SUASANA tipikal di bazar jalanan.


Menurutnya, kawasan Mumbai Selatan menawarkan lokasi berbelanja rambang mata seperti di Colaba Causeway, Kemp's Corner dan beberapa arked kontemporari.
Berdekatan Crawford Market misalnya, seseorang boleh melangkah mudah ke Chor Bazaar yang menjual barangan antik termasuk perabot kolonial dan tembikar China. Namakan dan belilah apa sahaja yang diinginkan, seiring not-not rupee yang bertukar tangan.
Tombi menjelaskan, Crawford Market berkongsi kawasan dengan Mangaldas Market. Kalau peminat aksesori perhiasan diri menyukai jualan di sekitar Oberoi dan Taj Hotels, peminat tekstil terutamanya sari disarankan mengunjungi Mangaldas kerana ia merupakan 'lubuk' barangan fabrik dan tekstil.
Di situ, lorong-lorong dan lot kedai berloteng sedia menunggu pelanggan berpotensi. Kalau sudah melangkah masuk ke dalam premis tersebut, jangan terkejut jika pengusaha kedai menebarkan helai demi helai kain pelbagai warna, material dan corak di depan mata pelanggan.
Itu adalah taktik godaan 'memukau' yang sering mengena. Kalau tidak dua, pasti satu akan terpaut di hati pelanggan. Tidak hairan juga jika ada yang terpedaya lantas membawa pulang berlembar-lembar sari.
"Murah dan berbaloi," kata seorang teman penulis yang hampir pitam melawan ego saudagar kain.
"Tawar sehabis boleh. Mereka pasti melonjakkan harga permulaan sebab melihat anda orang luar," pesan Tombi.
Namun begitu, Tombi tidak perlu khuatir kerana orang Malaysia ternyata sanggup bermati-matian menawar harga demi nilai pembelian terbaik!
Bangunan bersejarah
Kalau sari sudah dimiliki, jangan tinggalkan Mumbai kalau belum mengunjungi Gateway of India di Pelabuhan Apollo. Tersergam di hadapan Hotel Taj Mahal, ia merupakan gerbang yang distruktur menggunakan baru basalt berwarna madu. Mercu tanda berciri Gujerat ini didirikan sebagai tanda mengingati lawatan King George V dan Queen Mary pada 1911.
Stesen Kereta Api Victoria Terminus pula adalah contoh seni binagothic Victoria terunggul di seluruh India. Bangunan yang kini dinamakan sebagai Chhatrapati Shivaji Terminus itu dihiasi reka bentuk kubah, gerbang dan menara ekstravaganza.
Biarpun hayatnya seusang tahun 1888, ia kini masih beroperasi penuh sebagai ibu pejabat sistem kereta api yang mengendalikan lebih daripada dua juta penumpang sehari.
KESIBUKAN waktu santai pada malam hujung minggu di pesiaran Marine Drive.


Warisan British dan Portugis nyata sangat berpengaruh. Terdapat banyak lagi lokasi bangunan menarik di sekitar Mumbai untuk dilawati mereka yang mencintai seni bina lama.
Antara yang perlu dikunjungi untuk dirakamkan keindahannya dengan kamera adalah seperti Kolej Elphinstone, Menara Jam Rajabai, Mahkamah Tinggi Mumbai, Muzium Prince of Wales dan Flora Fountain. Semua itu terletak berdekatan antara satu sama lain di jantung Mumbai.
Ruang spiritual
Hingar-bingar hasil 'buah tangan' pemandu tempatan yang sesuka hati membunyikan hon kenderaan masing-masing mungkin membuatkan seseorang ingin segera lari ke lokasi yang lebih menenangkan perasaan.
Biasanya, tempat-tempat beribadat menjadi tumpuan. Untuk itu, mereka yang terlepas daripada kesibukan jalan di Marine Drive dan menuju ke Colaba Causeway, pasti akan terlihat sebuah masjid yang fizikalnya seakan-akan terapung di atas laut.
Masjid Haji Ali yang fitrahnya dikepung laut ketika air pasang sebenarnya menempatkan dargah atau makam Haji Ali Shah Bukhari. Pada kurun ke-15, saudagar kaya tersebut meninggal dunia selepas pulang dari mengerjakan haji di Mekah.
Beliau telah mewasiatkan agar hartanya digunakan untuk pembinaan sebuah masjid. Sehingga hari ini, masjid usang itu terus mengundang tetamu yang mengagumi kewujudannya.
Selain kuil Mahalaxmi di Bhulabai Desai Road dan juga kuil Buddha usang di Gua Kanheri di tengah belantara Taman Negara Sanjay Gandhi, lokasi lain yang dianggap suci oleh warga tempatan khususnya penganut Hindu adalah Banganga.
Terlindung di tengah-tengah kontur berbukit Malabar Hill, kolam itu menakung epik Ramayana.
"Sang wira Rama dalam pencarian cintanya, Sita, dikatakan pernah singgah di lokasi tersebut lalu memanah permukaan tanah hingga terpancut air dari perut bumi. Itulah yang membentuk Banganga.

KUIL usang di Gua Kanheri dalam Taman Negara Sanjay Gandhi.


"Di situ terdapat Kuil Walkeshwar yang dikelilingi rumah rehat untuk disinggahi dharamsala atau mereka yang berhajat menyucikan diri di kolam itu," terang Tombi.
Fantasi dan realiti
Tarikan yang berikut juga tidak boleh dilupakan. Pelancongan Bollywood amat sinonim dengan Mumbai. Kalau ingin melihat kehangatan aksi belakang tabir dalam industri filem Hindi, produk ini boleh disertai mereka yang ingin menyaksikan kerja-kerja penggambaran dalam set studio milik syarikat gergasi seperti Balaji Films, Whistling Woods, Jeetu Savlani dan banyak lagi.
Cuma pesan penulis, kalau sudah menjejakkan kaki ke studio yang rupanya serba sederhana tersebut, jangan lagi terus tertipu dengan elemen fantasi dan mewah seperti yang terpapar dalam adegan filem-filem keluaran mereka!
Tidak cukup lawatan ke studio, pujuklah pemandu pelancong agar membawa anda mengunjungi kejiranan para superstar Bollywood seperti Shahrukh Khan, Salman Khan dan Rekha yang terletak di Pali Hill, Bandra. Walaupun kedatangan tidak diundang para bintang itu, bergambar di depan pagar pun sudah cukup mengujakan.
Sebaliknya, bagi mereka yang menghargai realiti, atur langkah anda ke Mani Bhavan Gandhi Sangrahalaya iaitu kediaman figura politik dan spiritual India, Mahatma Gandhi.
Terletak di Laburnum Road, rumah yang kini dijadikan muzium itu menyimpan tinggalan tokoh masyhur tersebut, seperti koleksi surat, gambar, buku, perabot, barangan peribadi dan sebagainya.
Kunjungan tiga hari dua malam mungkin belum cukup untuk seseorang pelancong menyerap entiti pelancongan di Mumbai. Mendasari spektrum warna kehidupan megalopolis berpopulasi 15 juta orang itu pasti membuatkan anda lebih menghargai diri dan asal-usul.

No comments: