KUALA PILAH 23 Julai – Keunikan Istana Lama Seri Menanti di sini mempesona dan mengagumkan 12 pelajar Kolej Ancren Gate South, Downe House, United Kingdom yang mengadakan lawatan di sini baru-baru ini.
Pada lawatan yang turut disertai 12 pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah (KTK), Seremban itu, pelajar berkenaan dibawa melawat seluruh kawasan muzium sambil diberi penerangan tentang institusi diraja di negeri ini yang berteraskan Adat Perpatih.
Selain itu, pelajar berpeluang merasai sendiri pengalaman menjamu selera di dalam istana dengan menggunakan tangan dan duduk bersila dalam acara ‘makan berselo’.
Menurut salah seorang pelajar Ancren Gate South, Julia Gossip, 16, dia semacam tidak percaya berpeluang berada di istana tersebut setelah menonton program berkaitannya di saluran Discovery pada Mei lalu.
“Saya amat gembira kerana dapat menjejakkan kaki ke lokasi pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 ini.
‘‘Saya pernah menonton acara pertabalan itu di saluran Discovery pada Mei lalu dan tidak menyangka dapat ke sini serta menyaksikan sendiri bangunan lama istana dan antara alat yang digunakan sempena acara itu.
“Ternyata hubungan sekolah angkat yang terjalin antara sekolah kami dan TKC banyak memberi pengalaman baru kepada saya. Selain diberi pendedahan mengenai sistem pendidikan di sini, saya berpeluang mempelajari adat dan budaya masyarakat di Negeri Sembilan. Ternyata pengalaman itu amat bernilai dan tidak mungkin dilupakan,” katanya.
Rakannya, Elisabeth Huth, 16, berkata, dia tertarik dengan keunikan Istana Lama Seri Menanti yang sudah berusia lebih 100 tahun namun masih kukuh dan kekal cantik.
“Saya difahamkan istana ini dibina tanpa menggunakan paku dan dibina setinggi empat tingkat. Saya kagum dengan kebolehan masyarakat terdahulu yang mampu membina bangunan setinggi itu dan hanya bergantung pada pasak untuk menyambungkan ia dari satu kayu ke kayu yang lain.
“Bangunan ini masih kukuh dan cantik. Saya gembira kerana berpeluang melawat ke istana ini dan berterima kasih kepada KTK dan Tourism Malaysia Negeri Sembilan kerana menganjurkan lawatan yang sangat bermakna ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment