2010/07/24
SUSILO mahu generasi baru lebih memberi tumpuan kepada pelajaran daripada berfoya-foya.
JAKARTA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata kes video lucah artis baru-baru ini adalah satu tragedi dari segi moral dan akhlak di republik itu.Justeru, katanya perkara itu seharusnya dijadikan teladan dalam kalangan tokoh masyarakat untuk memberi pendidikan terhadap anak-anak.“Tragedi moral akhlak yang belum lama ini terjadi, apa yang disebut kes video lucah. Pelajaran apa yang boleh dipetik dari situ, siapa yang dipertanggungjawabkan dan apa yang harus kita lakukan agar tidak terjadi kes itu pada masa depan,” kata Susilo.
Susilo memberi ucapan itu ketika kemuncak sambutan Hari Anak Nasional yang berlangsung pagi kelmarin di Sasono Langen Budoyo, Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta Timur.
Katanya, pendidikan moral dan keperibadian anak bermula dari rumah dan kemudian dikembangkan di sekolah oleh guru.
Namun katanya, pendidikan berupa teladan di sekeliling dan masyarakat luas turut memainkan peranan penting.
“Anak sudah tentu akan membandingkan apa yang mereka lihat dan alami di sekeliling dengan pelajaran yang diterima daripada ibu bapa dan guru.
“Bila ternyata tiada kesesuaian, anak mungkin ragu atau kecewa dan merasa bodoh terhadap apa yang diajar guru dan ibu bapanya.
“Walaupun anak secara bijak dapat menilai pengajaran dari ibu bapa dan guru adalah benar, namun praktikalnya dalam kalangan masyarakat ada kalanya tersasar,” jelas Susilo.
Oleh yang demikian, katanya, segenap lapisan masyarakat perlu menjadi contoh dalam pendidikan di republik ini.
“Masyarakat perlu mengajar apa yang dipelajari anak akan mereka temui ketika berhadapan masyarakat,” kata SBY. – Agensi
No comments:
Post a Comment