Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my
2010/07/24
ROHAYATI dan Nafiza (tengah) memegang sepanduk konvensyen di hadapan Pusat Islam USM, kelmarin.
KEPALA BATAS: Penampilan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Diraja 2009, Muhd Rusydan Amir Hamzah, bagi berkongsi petua menjadi pelajar cemerlang, bakal menarik perhatian ramai pelajar di Konvensyen Mega Anak Cemerlang, Keluarga Senang di Dewan Millenium di sini, hari ini.Dalam sesi selama sejam itu, Muhd Rusydan akan turut berkongsi pengalaman, selain peserta boleh berinteraksi untuk mengetahui cara atau teknik berjaya dalam pelajaran.Selain slot Mohd Rusydan, pelbagai pengisian diaturkan secara tidak formal ke arah mempermudahkan peserta berinteraksi sepanjang sehari konvensyen berlangsung.
Selepas seharian mengikuti ceramah, peserta serta pengunjung program itu akan dihiburkan menerusi konsert mini oleh Nazery iaitu bekas vokalis Kumpulan Raihan pada akhir program.
Peserta juga berpeluang memenangi sebuah Netbook dan pelbagai hadiah istimewa dalam cabutan bertuah.
Bagi peserta yang mendaftarkan anak mereka, Celcom Axiata Bhd (Celcom) akan memberi pek broadband secara percuma dengan bayaran bulanan RM50 selama dua tahun dan pek prabayar UPAX.
Program selama sehari itu adalah anjuran bersama Kelab Billion Visions, Hal Ehwal Wanita (HELWA) Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Asia Global, Celcom dan Creative Dreams International.
Pengerusi Bersama Program, Rohayati Daud, berkata konvensyen itu diharapkan dapat mencapai matlamat yang disasarkan dalam pengukuhan institusi kekeluargaan dan meningkatkan kecemerlangan dalam kehidupan.
“Kita percaya, dengan kesedaran kalangan peserta, generasi baru yang mengalami kecelaruan tingkah laku seperti fizikal agresif, fizikal bukan agresif, mental agresif dan mental bukan agresif, dapat dihindarkan daripada meracuni masyarakat, terutama remaja,” katanya.
Seorang lagi pengerusi program, Nafiza Md Kamaruddin, yakin dengan pendekatan berbeza daripada apa yang dilakukan semua pihak, program itu pasti dapat mencapai sasaran.
“Program ini dilihat tidak membabitkan ramai peserta kerana kualiti lebih baik daripada kuantiti kerana ia mampu memberi kesedaran lebih mendalam,” katanya.
Sesiapa yang berminat menyertainya boleh datang terus dan membuat pendaftaran di konvensyen hari ini dan sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Ellyana di 0124195869 atau Nafiza (0124139907).
No comments:
Post a Comment