BERLIN 19 Jan. - Mungkin anda merasakan keadaan meja pejabat yang bersepah menjejaskan tugasan harian dan produktiviti seseorang, namun satu kajian menunjukkan ia sebaliknya!
Menurut sekumpulan penyelidik dari Jerman, meja yang bersepah sebenarnya boleh membantu individu berfikir dengan lebih jelas kerana keadaan itu membuatkan mereka mencari jalan bagi memudahkannya.
Ini berikutan keadaan bersepah secara visual dan mental mampu memaksa manusia untuk memberi fokus dan berfikir dengan lebih jelas.
Pemikir dan penulis terkenal seperti Albert Einstein dan Roald Dahl terkenal dengan meja yang bersepah.
"Meja bersepah sebenarnya tidak menjejaskan kualiti kerja sebagaimana ia kelihatan kerana pendekatan menyelesaikan masalah yang mereka miliki membantu kecekapan kerja atau meningkatkan daya kreativiti seseorang dalam penyelesaian masalah," kata ketua penyelidik dari Universiti Groningen, Jia Liu, dalam artikel yang disiarkan melalui Jurnal Penyelidikan Pengguna.
Anehnya, impak meja bersepah kelihatan lebih berkesan kepada mereka yang konservatif, manakala mereka yang liberal pula sebenarnya tidak kisah dengan keadaan sedemikian.
"Pengurus syarikat swasta dan kerajaan sering mempromosi polisi 'meja kemas' bagi mengelak keadaan pejabat yang tidak terurus dan bersepah, bertujuan menjana produktiviti dan kecekapan kerja.
"Amalan ini berdasarkan kepada pemahaman konvensional bahawa persekitaran yang tidak terurus dan bersepah boleh menyesakkan minda dan menyukarkan penilaian.
"Bagaimanapun tidak semua bukti menyokong kaitan konvensional antara persekitaran bersepah dengan minda yang berserabut," katanya. - AGENSI
No comments:
Post a Comment