Amin Iskandar
Dis 19, 07
10:25am
Setiap kali menghadiri program anjuran Gerakan Masuhkan ISA (GMI), hati pasti terusik. Lebih-lebih lagi apabila terlihatkan isteri dan anak-anak para tahanan. Bila melihat wajah-wajah anak-anak tahanan yang masih lagi kecil, tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka mengharungi hidup setiap hari tanpa kasih sayang dan dorongan daripada seorang bapa.
Kalau yang sudah bersekolah, bagaimana mereka berdepan dengan rakan-rakan sekelas? Apakah mereka diejek dan dipermain-mainkan oleh kerana bapa mereka dikatakan “mengancam keselamatan Negara” (walaupun tidak dibicarakan)?
Bila terlihatkan isteri-isteri tahanan ISA, hati kecil ini bertanya, bagaimanakah mereka meneruskan kehidupan dengan menjadi ibu dan ayah sekaligus? Bagi yang selama ini menjadi suri rumah sepenuh masa, bagaimanakah mereka mencari rezeki dan menguruskan anak dalam masa yang sama?
Bagaimanakah mereka berhadapan dengan jiran-jiran dan saudara mara? Apakah mereka dipulaukan oleh jiran-jiran dan saudara mara walaupun suami mereka menjadi mangsa akta zalim yang membenarkan pemerintah menahan sesiapa sahaja tanpa bicara?
Kelmarin (17 Disember 2007) sekali lagi saya menghadiri program GMI di Suhakam. Entah kali keberapa saya telah menghadiri program yang dianjurkan oleh GMI di Suhakam saya pun tidak pasti. Tapi seingat saya sudah banyak kali. Tabik hormat saya berikan kepada GMI yang tidak pernah putus asa membela mangsa tahanan ISA dan keluarga mangsa.
Program yang saya hadiri semalam bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Suhakam. Memorandum yang bertajuk “ Wanita Malaysia Prihatin Bersama Isteri dan Keluarga Tahanan 6 Tahun ISA” dan “ Lima Pemimpin Hindraf ditahan ISA: Bebaskan atau Dakwa Mereka! Tidak ada justifikasi Penggunaan ISA” diserahkan kepada setiausaha Suhakam di akhir program tersebut.
Kesetiaan Makcik Salamah
Bila berbicara tentang ISA, selama ini kita hanya memberikan fokus terhadap tahanan. Belum ramai lagi yang membicarakan tentang bagaimana nasib keluarga tahanan apabila suami atau ayah mereka ditahan. Bayangkan pula ada antara mereka yang sudah 6 tahun mengharungi kehidupan sebagai keluarga tahanan ISA.
Sebab itu saya begitu hormat kepada Makcik Salamah, isteri kepada bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari yang telah mengharungi dugaan dan cabaran selama 17 tahun ketika Lee Kuan Yew menahan Pak Said selama 17 tahun di bawah ISA. Sewaktu masih lagi menuntut di universiti, saya dan rakan-rakan sering ke rumah Said Zahari untuk berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan.
Apabila kami ke sana, Makcik Salamahlah yang akan menyediakan hidangan. Kami tidak akan melupakan “kuey teow” goreng yang disediakan oleh Makcik Salamah. Kini Makcik Salamah telah tiada lagi. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 29 Disember 2004. Apabila saya dan rakan-rakan menerima berita sedih itu, kami terus ke rumah Pak Said. Perkataan pertama yang keluar daripada mulut Pak Said ialah “makcik dah tiada”. Menitik air mata saya apabila terdengar kata-kata Pak Said.
Pak Said nampak tenang pada hari itu. Namun kami dapat melihat kesedihannya yang teramat sangat untuk berpisah dengan isterinya yang telah banyak berkorban untuk dirinya. Tujuh belas tahun adalah jangkamasa yang terlalu lama bagi seorang isteri untuk terus setia bersama suami yang ditahan tanpa bicara. Begitu tinggi nilai cinta Makcik Salamah kepada Pak Said. Beliau terus menunggu Pak Said walaupun 17 tahun lamanya.
Berbalik kepada kesengsaraan isteri tahanan ISA. Selama ini Kak Aliza Jaffar, isteri kepada bekas tahanan ISA, Saari Sungib merangkap wakil Pusat Sokongan Keluarga GMI, ada menceritakan serba sedikit. Tetapi apabila saya selesai membaca memorandum “ Wanita Malaysia Prihatin Bersama Isteri dan Keluarga Tahanan 6 Tahun ISA”, saya menjadi begitu marah dan sedih mengenangkan nasib keluarga tahanan ISA yang menjadi mangsa kepada gangguan-gangguan daripada SB (Special Branch) sepanjang suami mereka ditahan.
Gangguan SB
Sudahlah suami mereka menjadi mangsa kepada akta zalim ISA dan mendapat seksaan semasa dalam tahanan, isteri yang tidak bersalah tidak terlepas daripada menerima gangguan dan tekanan. Semenjak tahun 2001, apabila suami mereka ditahan, mereka tidak henti-henti menerima gangguan dan penderaan jiwa daripada SB.
Mereka ibarat hidup “di dalam penjara di luar penjara”. Ertinya, walaupun mereka tidak dipenjarakan di bawah ISA, tetapi mereka tetap menerima tekanan dan gangguan yang teruk daripada SB. Kadang-kadang lebih teruk daripada gangguan dan tekanan yang diterima daripada tahanan.
SB dikatakan masih lagi mengekori isteri-isteri tahanan dan mengambil gambar mereka. Nasib baiklah sekarang ini sudah ada teknologi kamera digital, kalau tidak tahulah berapa guni “filem” yang telah digunakan untuk mengambil gambar isteri tahanan. Selain itu, rumah tahanan ISA dan isteri tahanan masih terus diintip oleh SB. Telefon rumah masih dipantau. Ada juga isteri tahanan yang menerima panggilan dari SB yang menyuruh isteri tahanan meminta cerai daripada suami mereka dan mengahwini SB tersebut.
Yang lebih jijik lagi, ada isteri tahanan yang menerima SMS lucah dan menerima panggilan dari orang yang tidak dikenali mengajak mereka mengadakan hubungan seks. Ini adalah sungguh biadap dan kurang ajar. Bagaimana keadaan ini berlaku di zaman pemerintahan “Imam” Islam Hadhari? Di kala Malaysia mengutuk Amerika Syarikat di atas layanan yang diberikan kepada tahanan di Guantanamo Bay, bukan sahaja tahanan ISA menerima seksaan, malahan keluarga tahanan turut diganggu.
Walaupun ISA menjaga keselamatan politik pemerintah dalam jangka masa pendek, tetapi ianya bahaya untuk jangkamasa panjang. Dalam jangkamasa pendek, rakyat akan dapat ditakut-takutkan dan dapat menghentikan buat seketika sesuatu gerakan politik yang menggugat pemerintah. Contohnya pada tahun 2001, ISA telah digunakan secara besar-besaran untuk menghentikan Gerakan Reformasi yang begitu aktif pada ketika itu. Memang benar gerakan itu terhenti seketika. Namun hari ini kita dapat saksikan gerakan rakyat masih berterusan. Malahan lebih hebat lagi.
Dalam kes Hindraf, kita dapat menyaksikan, walaupun polis telah menahan lima pemimpinnya di bawah ISA, pada hari Ahad yang lalu, hampir 2000 orang aktivis dan ahli keluarga mereka berkumpul di Kamunting untuk menuntut agar mereka dibebaskan daripada ISA. Telah terbukti bahawa ISA bukan lagi satu ketakutan kepada mereka.
Dalam jangkamasa panjang pula, ISA akan melahirkan lebih ramai aktivis-aktivis yang berani. Selain itu, ahli keluarga tahanan juga akan menjadi lebih berani akibat berkongsi pengalaman dengan ayah atau suami mereka. Contohnya, kita boleh melihat apa yang berlaku kepada keluarga Shaari Sungib. Mereka sekarang ini adalah antara penggerak utama GMI.
Sudah sampai masanya ISA dimansuhkan. Bicarakanlah mereka yang “dikatakan” menggugat keselamatan negara. Kalau benarlah mereka bersalah sudah tentu mereka tidak akan terlepas. Tetapi kalau untuk menjaga kestabilan politik pemerintah, lebih baik dihentikan segera. ISA tidak mengenal mangsa. Ia ibarat roda yang berputar. Tidakkah Abdullah Ahmad Badawi terfikir bahawa keluarganya mungkin juga menjadi mangsa ISA pada masa akan datang ketika beliau tidak lagi berkuasa. Bayangkanlah Nori Abdullah bersama anaknya terpaksa mengadu kepada GMI apabila menantunya ditahan ISA.
Jika itu berlaku sanggupkah Abdullah melihat anaknya diganggu oleh SB dengan panggilan-panggilan lucah? Sanggupkah Abdullah membayangkan puteri dan cucunya berdemonstrasi di hadapan Kem Kamunting? Sanggupkah Abdullah melihat cucunya dibuli disekolah oleh kerana bapanya dikatakan mengancam keselamatan negara? Sanggupkah?
No comments:
Post a Comment