Pages

Sunday, February 21, 2010

Betulkah Pindaan ISA Bawa Prinsip Liberal

Written by Faisal Mustaffa
Tuesday, 12 May 2009 00:00

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan sejak tahun 2003 supaya ISA dimansuhkan dan diganti dengan sebuah akta baru, Akta Anti-Terrorisme tetapi tidak pernah diteliti oleh kerajaan atau dibentangkan di Parlimen. Lain pula dengan pendirian Suruhanjaya Diraja Pembaikpulih Polis yang mana mencadangkan agar ISA dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Anti-Terorisme.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan oleh Parlimen pada 1 Ogos 1960 setelah Darurat diisytiharkan berakhir pada 30 Julai 1960. Pada mula-mulanya, ia bertujuan untuk menghadapi kegiatan komunis tetapi dalam tempoh hampir separuh abad ini, ia telah digunakan untuk pelbagai tujuan selain daripada tujuan asal ia diluluskan oleh Parlimen.

ISA membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan tanpa perlu kepada pembuktian. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, sembarangan dan tidak boleh dicabar mahkamah yang menyebabkan berlakunya penyeksaan fizikal dan mental* sepertimana yang telah terbukti berlaku dalam banyak kes terdahulu.
Tetapi akta tersebut kerap dilihatkan sebagai sebuah undang-undang yang berkepentingan. Undang-undang ini dilihat sebagai tindakan yang bercanggah dengan hak asasi manusia dan juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

R.H. Hickling, individu yang bertanggungjawab menyediakan draf ISA mengakui akta tersebut bukan sahaja diperketatkan penggunaannya malah berlaku juga penyalahgunaan akta tersebut bagi kepentingan politik. Katanya,

“[S]ince I drafted the original act, the ISA has been tightened up and tightened up until now there’s no provision for judicial review. Unfortunately over the years the powers have been abused. Instead of locking up people suspected of organising violence, which is the phrase used in the preamble to the ISA, it’s been used to lock up political opponents, quite harmless people.”

Kemuncak asas-asas ISA ialah elemen mengancam, mengugut dan mewujudkan rasa takut dan gerun…”climate of fear”…”under siege mentality”… sehingga merencatkan daya fikir dan teguran berani serta fitrah manusia yang bebas.

Manusia mesti bebas

Menurut sumber, pelbagai pertuduhan yang membuatkan seseorang itu ditahan di bawah ISA. Antaranya ialah memimpin Kumpulan Tindakan Hak-hak Hindu (Hindraf), Jemaah Islamiyah, Darul Islam dan kononnya menyertai agensi perisik asing. Namun, tidak ada satu pun pertuduhan itu dibicarakan di mahkamah.
Di kalangan mereka yang masih ataupun lewat ini berada di Kamunting, enam orang sudah ditahan melebihi enam tahun, dua orang melebihi lima tahun, dua orang ditahan melebihi empat tahun, enam orang ditahan melebihi tiga tahun, empat orang ditahan melebihi dua tahun, dua orang ditahan melebihi setahun dan enam orang ditahan melebihi enam bulan. Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pembebasan 13 daripada mereka.
Amnesty International, sebuah organisasi pendukung hak asasi manusia, sejak tahun 1970an lagi telah mengecam pencabulan hak-hak asasi yang berlaku di Malaysia kesan daripada pelaksanaan ISA. Dalam kenyataan rasmi Amnesty, mereka telah menggariskan bahawa akta tersebut menghalang seseorang mendapat hak untuk membela diri di mahkamah. Amnesty juga menyimpulkan bahawa ISA menyekat kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Mengikut cara penggunaannya, mangsa-mangsa yang dikenakan ISA termasuk ahli politik, aktvis, golongan akademik, mahasiswa, wartawan, anggota kesatuan sekerja dan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan.

Hak asasi digadai

Secara falsafahnya, liberalisme komited kepada konsep kesaksamaan, maruah, kebebasan dan rasionaliti. Pemahaman liberalisme menurut John Rawls (1921- ), prinsip liberalisme berkehendakkan kerajaan menyediakan sistem yang paling ekstensif terhadap kesama rataan. Setiap individu haruslah mengecapi peluang yang sama antara satu sama lain.

Liberalisme juga percaya kepada peluang yang sama dalam mendapat tempat di dalam masyarakat, tidak mengira warna, jantina dan bangsa. Para liberalis melihat kebebasan sebagai satu matlamat.

Manusia tidak boleh hidup tanpa kebebasan, masyarakat juga tidak boleh berfungsi tanpanya, hasilnya, ide mengenai kebebasan telah memainkan peranan di mana jua dan pada setiap masa. Malah, pada zaman dahulukala, tradisi hukum alam walaupun mengutamakan masyarakat menuntut ruang-ruang kebebasan yang harus dilindungi dari pencabulan. Oleh yang demikian, liberalisme tidak pernah bertoleransi kepada prinsip yang tidak berperikemanusiaan.

Gerakan Mansuh ISA (GMI) sebagai badan yang bertanggungjawab juga mahukan keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara. GMI menentang amalan keganasan dan tindakan di luar undang-undang. Namun GMI berpendirian bahawa pencapaian keamanan dan kesejahteraan tersebut tidak pula boleh menggadaikan dan mencabuli hak asasi manusia dan keadilan sewenang-wenangnya.

Rekod Malaysia yang teruk
Parlimen Eropah yang lebih liberal dalam memperbincangkan sesuatu isu menyebut dalam persidangan mereka pada 13 Jun 2001 bahawa hak asasi manusia di Malaysia menjadi bertambah teruk akibat daripada cara Perdana Menteri Dr Mahathir menghancurkan musuh-musuh politiknya.
Apabila beberapa golongan dari ulama dan pejuang hak asasi serta ahli perundangan memperbincangkan tindakan ISA yang dikenakan ini, tekanan tersebut memaksa ianya diperbincangkan di Dewan Rakyat. Pihak Barisan Nasional (BN) bersungguh-sungguh ingin mempertahankan akta tersebut. Malah, mereka ingin mengusulkan agar Dewan Rakyat memperkenalkan Akta Anti-Terorisme bagi membendung masalah keganasan.

Syor untuk mengkaji semula ISA pernah disuarakan oleh beberapa orang Menteri dan parti komponen BN sebelum ini. Ada yang mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Malah ada yang meletakkan jawatan kerana membantah, sperti Zaid Ibrahim.

Namun ada yang indah khabar dari rupa. Apabila beliau tidak memegang awatan Kabinet, Rais Yatim berkata “the fact that the government chooses to perpetuate this formidable power under the ISA without any valid basis is purely a political choice” dalam tesis kedoktorannya yang diterbitkan pada tahun 1995 . ["Alasan kerajaan untuk mengekalkan kuasa yang menggerunkan ini di bawah ISA tanpa sebarang asas yang kukuh berdasarkan hanya kepada pilihan politik."]
Tetapi, sewaktu beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2002, Rais menyebut dengan hipokritisnya dalam satu wawancara bahawa “as between popularity and the need to be vigilant in terms of national security, Malaysia choose the latter, The wisdom of the policy has withstood time”. [Di antara populariti dan keperluan untuk berwaspada dari segi keselamatan negara, Malaysia mengutamakan keselamatan negara. Kewajaran dasar telah dilihat melalui peredaran masa.]

Parti politik ikut angin

Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapan sulungnya pada 3 April lalu menyentuh mengenai penggunaan ISA.

Akan tetapi parti Gerakan masih berpendapat akta kuno ini masih relevan. Sungguhpun kita mempunyai banyak undang-undang lain yang boleh digunakan tanpa perlu mencabuli hak perbicaraan dan hak membela diri seseorang, Gerakan masih tidak mempercayai pendakwaan melalui proses penghakiman dan diadili.
Mengikut Gerakan, ISA tidak perlu dimansuh tetapi memerlukan pindaan. Persoalannya adakah sebarang pindaan kepada akta tersebut seseorang tahanan memberi keadilan kepada manusia?
Mengikut ISA, seseorang tahanan itu akan disoalsiasat oleh polis selama 60 hari tanpa mendapat akses kepada keluarga mahupun peguam. Malah selalunya, ahli keluarga tidak akan diberitahu di mana tahanan tersebut akan ditempatkan bagi disoalsiasat. Selepas itu, tahanan akan dikenakan perintah tahanan di Kem Kamunting selama dua tahun. Apabila tamat dua tahun, dia kemudian boleh ditahan lagi sehingga bila-bila atas keputusan yang dibuat oleh polis dan Menteri Dalam Negeri berdasarkan laporan dari satu lembaga penasihat yang tidak bebas.

Seorang bekas tahanan Ban Ah Kam, 63, telah ditahan dari 9 November 1968 hingga 8 Disember 1978.

Mengikut Ban, dia pernah dipukul dengan batang penyapu dengan kuat ke arah badan, tangan dan kaku sehingga batang penyapu tersebut patah. Dia juga dipaksa memanjat tiang bola keranjang ... dilakonkan 'menghantar telegram’. Menurutnya lagi, tiada seorang pun daripada rakan-rakan dalam tahanan bersamanya yang tidak pernah dipukul atau ditendang.

Ban Ah Kam juga menceritakan mengenai pengalaman rakan sepertahanannya, Liu Mulin dari Semenyih yang bekerja sebagai penoreh getah terpaksa menderita skizofrenia kerana tidak dapat menerima penahanannya, serta bagaimana ibunya yang tua terpaksa ditinggalkan keseorangan tanpa penjaga.
Bagi Gerakan, elemen-elemen penyeksaan yang diceritakan mangsa-mangsa ISA ini sahaja yang perlu diberikan penelitian, bukan teras undang-undang tersebut. Mungkin ahli parti tersebut tidak pernah mengalami pendakwaan di bawah ISA. Apatah lagi pemimpin. Adakah mereka tahu dan faham bagaimana layanan terhadap seseorang itu yang ditahan sekurang-kurangnya dua tahun dan ada yang ditahan sehingga 16 tahun tanpa dibicarakan?

Sebagai sebuah parti politik yang tidak berpendirian tegas, Gerakan selalunya tidak mengambil sikap yang konkrit. Atas pendirian mereka agar akta ini dipinda, tidak dimansuhkan, adakah mereka bertujuan untuk menarik hati pengundi dan penyokong? Adakan yang dirasakan selamat seperti ini dapat menyelamatkan hubungan mereka dengan parti pemerintah BN?

Agaknya sikap Gerakan akhirnya akan memakan diri. Rakyat telah membuat keputusan dalam pilihan raya umum 2008 lalu di mana tahanan ISA [M Manoharan mewakili DAP] yang diletakkan di Kota Alam Shah, menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor. Kekalahan teruk Gerakan Pulau Pinang di tangan DAP juga telah memberi isyarat.

Nota Kaki:

* Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia: Artikel 3, 5, 9, 10, 11 menyentuh mengenai hak: kebebasan; bebas dari penahanan tanpa bicara; tidak diseksa atau diperlakukan secara kejam, tidak berperikemanusiaan atau penghinaan; dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah menurut undang-undang melalui perbicaraan di mahkamah terbuka.

No comments: