Dikirim oleh: panglima_zaid on 29 September, 2008, 12:03:13 PM
Setelah hampir dua jam tersesat di sekitar bandar Klang, krew Harakah akhirnya tiba ke destinasi yang dihajatkan. Ketibaan kami disambut tuan rumah, Dayang Hamid, 35 tahun yang memegang status 'ibu tertinggal' angkara ISA sejak dua tahun lalu.
Biarpun pertama kali bersua, sifat ramah mesranya menjadikan pertemuan itu sungguh harmoni. Tanpa sebarang perabot indah, apatah lagi mewah, Dayang kelihatan cukup tabah dan tenang membesarkan lima anaknya di rumah kecil yang disewanya RM 400 sebulan.
Menangis dua minggu
"Saya menangis dua minggu pertama suami ditahan. Selepas dari itu, demi anak-anak saya terpaksa bangkit untuk membekalkan ketabahan dan kecekalan saya kepada anak-anak. Saya tidak mahu melihat anak-anak lihat saya bersedih," kata beliau membuka bicara.
Suaminya, Idris Lanama, ditahan Mac 2006 lalu atas tuduhan terbabit dengan Darul Islam, yang dikatakan kumpulan anak didik Jemaah Islamiyah (JI). Sejak ditahan, Dayang hilang tempat bergantung memandangkan beliau hanyalah seorang suri rumah.
Namun, kelukaan itu terubat dengan pelbagai bantuan yang tidak putus-putus untuk dirinya sekeluarga. Beliau menerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor, yang bersedia memberi kursus menjahit kepadanya, selain membekalkan mesin jahit kepada beliau.
Dengan kemahiran tersebut, Dayang dapat menambahkan pendapatannya dengan mengambil tempahan menjahit daripada rakan-rakan dan jiran-jirannya. Beliau turut membuat pelbagai kerja bagi menampung hidupnya sekeluarga, termasuk membuat jualan langsung seperti menjual kopi dan makanan tambahan.
Jual kopi Rabbani
Berkat kesabaran dan kecekalan Dayang, jualannya boleh dikatakan laris dalam tempoh seminggu hingga menimbulkan kehairanan dan kekaguman pembekalnya.
"Saya bawa ke mana-mana sahaja kopi ini apabila keluar dari rumah. Saya juga suka bertegur sapa membuatkan saya terus mempromosikan kopi yang saya jual ini," kata beliau yang menjual produk kopi Rabbani.
Ternyata kesabarannya dan kecekalannya akhirnya membuka ruang kepadanya untuk terus memajukan diri. Kini, beliau diterima untuk mengajar di sebuah tadika swasta bagi kelangsungan hidupnya sekeluarga.
Tidak mahu menjadikan kehilangan suaminya sebagai sebab anak-anak tidak maju dalam pelajaran, Dayang berusaha mendidik anak-anaknya sebaik mungkin dan bekerja membanting tulang demi masa depan anak-anak.
Tidak hairanlah, dua daripada lima anaknya merupakan pelajar bijak di sekolah mereka. Malah, mereka - masing-masing berusia 9 dan 8 tahun kini bersekolah di Sekolah Integrasi Kampung Batu Belah, Kelang.
Harakah hulur sumbangan
Memahami kesulitan dan keperitan yang dialami Dayang, Harakah terpanggil untuk menyampaikan sumbangan kepada beliau sempena Ramadan ini. Sumbangan sebanyak RM 1000, hasil derma orang ramai ini disampaikan wakil Harakah, 11 Sept lalu./wann
Bagi mereka yang ingin menyumbang kepada keluarga mangsa ISA dan golongan yang memerlukan, bolehlah disalurkan kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336._
No comments:
Post a Comment