Pages

Saturday, June 16, 2012

Tentera sabotaj demokrasi

KAHERAH: Proses peralihan demokrasi di Mesir semakin kucar-kacir semalam, selepas mahkamah negara itu mengarahkan Parlimen dibubarkan.
Mahkamah Agung Perlembagaan juga membenarkan seorang tokoh yang dipertikaikan, terus bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu.

Aktivis demokrasi dan tokoh politik menganggap keputusan itu sebagai fasa terakhir tentera mahu merampas kembali kuasa dan mengembalikan negara itu kepada era Hosni Mubarak.

“Kembali ke asal,” lapor muka depan akhbar harian bebas, al-Shorouk, manakala harian liberal Wafd memilih tajuk “Bom: Shafiq kekal dan Parlimen batal.” Mahkamah memutuskan beberapa artikel dalam peraturan pilihan raya parlimen tidak sah, sekali gus membatalkan Parlimen yang dikuasai kumpulan Islam.

Hakim turut berpendapat, sekatan ke atas pegawai kanan Hosni - bekas diktator Mesir yang digulingkan rakyat - selama 10 tahun bercanggah daripada perlembagaan.

Peraturan sebelum ini menyebabkan perdana menteri dilantik Hosni, Ahmed Shafiq, tidak layak bertanding menghadapi calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi, bagi jawatan presiden pada hari ini dan esok.


Aktivis parti dan demokrasi menuduh Majlis Tertinggi Angkatan tentera “menghalang revolusi” selepas beberapa langkah dibuat badan itu diambil bagi mengukuhkan kuasanya.

Keputusan mahkamah semalam dibuat sehari selepas Kementerian Keadilan membenarkan pegawai tentera menahan orang awam walaupun kuasa itu ditarik balik apabila perintah darurat beberapa dekad ditamatkan pada 31 Mei lalu.

Dalam kenyataan bersama semalam, enam parti politik dan gerakan massa berkata, langkah diambil mahkamah itu menunjukkan tentera mahu mengembalikan rejim lama, manakala pilihan raya yang dijalankan sekadar sandiwara.

Sejak Hosni disingkirkan pada Februari 2011 dan tentera mengambil alih kuasa, sejumlah tindakan diambil bagi mematikan revolusi rakyat, termasuk pembebasan dua anak lelaki Hosni daripada tuduhan rasuah.

Enam komander polis pula dibebaskan daripada tuduhan membunuh penunjuk perasaan. - AFP

No comments: