Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
Teknik-teknik ini juga sama seperti yang diluluskan oleh Donald Rumsfeld bagi digunakan terhadap mereka yang dituduh sebagai pengganas Taliban dan Al-Qaeda di Kem Tahanan Guantanamo.
Teknik-teknik yang sama inilah juga digunakan oleh SB terhadap tahanan ISA di Malaysia. Saya akan cuba menghuraikan pelaksanaan teknik-teknik yang digunapakai oleh SB selaras dengan kaedah yang digunakan oleh CIA:
"Direct "
Ini dilakukan dengan mengemukakan soalan-soalan secara langsung.Teknik ini biasanya digunakan sebagai selingan di antara teknik-teknik lain khasnya teknik rapid-fire. Teknik ini digunakan seolah-olah bagi tujuan memberikan sedikit ruang kepada tahanan untuk bertenang dan berehat selepas diasak oleh IO dengan teknik rapid-fire.
Selain itu juga, IO yang ditugaskan untuk menjalankan teknik ini telah diarahkan agar tidak terlalu agresif. IO ini juga diarahkan sama ada untuk bersikap berkecuali ataupun bersimpati dengan tahanan!
Jika IO itu diarahkan untuk bersikap berkecuali, beliau akan bertingkah-laku sebagai seorang yang benar-benar menyoal dan mendapatkan jawapan daripada tahanan tanpa menzahirkan sebarang emosi daripada pihaknya.
Berdepan dengan IO seperti ini sudah cukup untuk menjadikan tahanan bergantung harap terhadapnya!
Jika IO itu pula diarahkan untuk menunjukkan simpati terhadap tahanan, maka ia akan benar-benar menzahirkan emosi, sifat prihatin dan kasihan belasnya terhadap tahanan. Berdepan dengan IO seperti ini, hati dan perasaan tahanan biasanya akan mudah luluh dan cair!
Tujuan pendekatan ini adalah agar dengan ruang 'rehat' dan berdepan pula dengan seorang IO yang berkecuali atau bersimpati, akan meningkatkan tahap kebergantungan tahanan terhadap IO tadi.
Apabila tahap kebergantungan ini dapat ditingkatkan, maka mudahlah hubungan saling percayai mempercayai di antara tahanan dengan IO diwujudkan. Apabila ini berlaku, maka saluran tambahan bagi mengenakan tekanan terhadap tahanan secara tidak disedari olehnya akan dapat diwujudkan.
Awas! Jangan pandang enteng teknik ini. Jangan juga mudah lembik lutut dan cair hati apabila berdepan dengan IO yang diarahkan untuk menggunakan teknik ini. Jangan sekali-kali menyandarkan harapan anda kepada IO seperti ini!
"Incentive/removal of incentive"
Sebaik sahaja masuk ke lokap soal-siasat, tahanan ISA tidak akan diberikan tilam, selimut, bantal, selipar, shampoo rambut, ubat nyamuk dan bermacam-macam lagi.
Menurut IO, jika tahanan memberi kerjasama semasa soal-siasat barulah barang-barang tersebut diberikan kepadanya. Barang-barang tersebut dianggap oleh IO sebagai insentif kerana tindakan tahanan bekerjasama dengan IO.
Insentif tersebut juga diberikan secara bertahap. Mungkin selepas 14 hari barulah bantal, selimut dan tilam diberikan kepada tahanan.
Semasa memberi barang-barang tersebut, IO akan menyatakan atau memberi isyarat kepada tahanan bahawa mereka telah berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh tahanan setakat itu.
Mungkin selepas 20 hari barulah sepasang selipar diberikan kepadanya. Selepas 30 hari mungkin ubat nyamuk pula dipasang di dalam lokap agar tahanan lebih nyenyak tidur tidak diganggu oleh nyamuk.
Semua pemberian itu dijadikan sebagai insentif oleh IO kerana tahanan telah memberi kerjasama dalam proses soal-siasat.
Beberapa hari kemudian, ubat nyamuk tidak lagi dipasang. Bila ditanya kenapa, IO akan memberitahu bahawa insentif tersebut ditarik balik kerana tahanan sudah tidak lagi memberi kerjasama kepadanya.
Insentif terbesar yang dijadikan cagaran oleh IO terhadap tahanan adalah pertemuan keluarga. Setelah 7 atau 10 disoal-siasat, ketua IO akan asyik bercakap tentang usaha daripada pihaknya untuk mempertemukan tahanan dengan isteri dan anak-anaknya. Katanya, memandangkan urusan soal-siasat masih banyak lagi, maka urusan tersebut hendaklah didahulukan.
Katanya, jika urusan soal-siasat dapat disegerakan, maka segeralah pertemuan tahanan dengan isteri dan anak-anaknya akan dapat diatur!
Insentif-insentif yang dijanjikan memang banyak! Ini termasuk menjanjikan menyediakan dalam sel tahanan flask air panas beserta teh, kopi, gula, milo, horlick, biskut, roti dan macam-macam lagi.
TV? pun ada dijanjikan sebagai insentif!
Istimewa lagi, ketua IO juga berjanji untuk mengaturkan pertemuan tahanan dengan isteri di satu lokasi khas agar tahanan boleh berdua-duaan dan bermalam dengan isterinya semasa berada dalam tempoh disoal-siasat!
Awas! Jangan sekali-kali termakan dengan teknik memberi dan menarik insentif ini. Alang-alang menyeluk pekasam.... Lagipun, tidak ada apa pun yang hebatnya tentang pemberian tilam, selimut dan selipar ini.
"Emotional love"
Teknik ini digunakan untuk mempermain-mainkan sentimen, emosi dan perasaan tahanan. Pertama sekali bayangkan bahawa sepanjang soal-siasat, tahanan masih belum pulih daripada perasaan trauma hari pertama ditangkap, diarah berbogel serta ditempatkan di lokap yang kotor dan menjijikkan.
Rasa sedih dan keliru masih membayangi emosi dan perasaan tahanan tersebut. Tahanan masih terkenang dan amat merindui anak-anak dan isteri serta rakan-rakan seperjuangannya. Pada masa inilah teknik emotional love ini digunakan terhadap tahanan.
Ada IO yang akan masuk menceritakan masalahnya dengan isterinya. Beliau akan mengatakan alangkah beruntungnya tahanan mempunyai keluarga yang bahagia. Tidak seperti dirinya, tahanan mempunyai isteri yang amat penyayang. Isteri tahanan juga menurut IO itu pandai menjaga serta mendidik anak-anak tahanan.
Tambahnya lagi, alangkah bahagianya dirinya kalau mendapat sebuah keluarga seperti keluarga tahanan. Kalau dia berada di tempat tahanan, sudah pasti dia tidak akan menyusahkan keluarganya dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang menyebabkan dirinya ditangkap di bawah ISA!
IO itu seterusnya membebel tentang tindakan tahanan yang menyusah dan mengabaikan keluarga semata-mata kerana terpedaya dengan kawan-kawan yang kononnya mahu berjuang!
Ada pula IO yang akan datang membawa beberapa keping gambar rakan-rakan seperjuangan tahanan yang sedang menghadiri satu majlis dalam keadaan bergelak ketawa dan makan minum sakan!
IO itu menambah dengan mengatakan bahawa perjuangan tahanan adalah sia-sia kerana telah diperdaya oleh kawan-kawan. Tahanan kini terpaksa merengkok dalam bilik soal-siasat sedangkan kawan-kawannya sedang bersuka-ria di luar sana.
Teknik ini juga boleh pergi jauh dengan IO bercerita bahawa isteri tahanan sudah berlaku curang dengan mengadakan hubungan dengan lelaki lain. Gambar-gambar palsu diada-adakan untuk terus mempermain-mainkan emosi dan perasaan tahanan.
Walau bagaimanapun, teknik ini tidak akan digunakan terhadap tahanan yang benar-benar membangunkan keluarganya di atas landasan agama.
Awas! Jangan sekali-kali terperangkap dengan teknik emotional love.
"Emotional hate"
Teknik ini dijalankan dengan memburuk-burukkan orang yang dianggap IO sebagai objek yang diperjuangkan oleh tahanan.
Dalam konteks tahanan Reformasi, objek ini adalah Anwar Ibrahim. Untuk itu habis lencun bagai nak ghak Anwar dimaki-hamun, difitnah dan dicerca oleh IO-IO tersebut.
Melaga-lagakan satu tahanan dengan tahanan yang lain juga termasuk dalam teknik emotional hate. Tahanan Reformasi dilaga-lagakan di antara satu sama lain. Ada tahanan Reformasi yang diberitahu bahawa ada seorang aktivis yang berkawan dengannya sebenarnya adalah informer SB dan mendapat bayaran bulanan daripada SB.
Bagi tujuan tersebut, tahanan tersebut ditunjukkan sekeping resit pembayaran yang telah ditandatangan oleh aktivis tersebut.
Melihat resit pembayaran itu meluap-luaplah marah tahanan tersebut terhadap aktivis itu! Tahanan KMM dan JI juga dimomok-momokkan dengan tahanan Reformasi. Mereka diapi-apikan agar membenci tahanan Reformasi yang dikatakan oleh IO sebagi ejen CIA dan pengkhianat negara.
Selain itu, kadang-kadang ada IO yang masuk ke bilik soal-siasat membuka dompet duitnya untuk menunjukkan gambar isteri dan anak-anaknya. Beliau memberitahu bahawa beliau amat sayang kepada keluarganya, dan keluarganya juga amat menyayanginya.
Namun, katanya apa boleh buat demi tugas menjaga keselamatan negara terpaksalah mereka berkorban. Walaupun mempunyai keluarga bahagia, namun mereka hanya berjumpa beberapa hari sahaja dalam sebulan.
Katanya, kalaulah isteri dan anak-anaknya mengetahui bahawa mereka terpaksa kehilangan dirinya kerana menjaga tahanan, sudah pasti isteri dan anak-anaknya akan membenci isteri dan anak-anak tahanan itu!
Tidak habis di situ, katanya lagi kalaulah isteri dan anak-anak tahanan itu mengetahui bahawa isteri dan anak-anaknya membenci mereka, pasti isteri dan anak-anak tahanan itu akan marah dan membenci tahanan itu pula!
Awas! Teknik ini sudah banyak memerangkap tahanan ISA.
No comments:
Post a Comment