Awang minat mengkaji sejarah termasuk bagaimana tersungkurnya tamadun yang hebat. Salah satu kisah yang menarik ialah kejatuhan empayar Bani Abassiyah ketika di bawah pemerintahan Khalifah al-Mustashim Billah (640-656H). Empayar tersebut yang ketika itu berpusat di Baghdad dan digeruni musuh, akhirnya tumbang. Tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan iaitu cucu kepada Genghiz Khan berjaya menawan Baghdad.
Apa puncanya? Tercatat dalam banyak dokumen sejarah, ia adalah angkara pengkhianatan seorang pembesar bernama Umayiyudin Muhammad al-Aqami, yang bercita-cita mahu menjadi khalifah atau pemerintah agung.
Secara penuh muslihat, beliau bersubahat dengan Hulagu Khan. Tanpa disedari, Umayiyudin menjadi musuh dalam selimut kepada khalifah dan rakyat. Kemuncaknya, percaturan Umayiyudin membawa kejayaan. Baghdad akhirnya ditawan dan kota tersebut bermandi darah dengan ratusan ribu penduduk dibunuh manakala wanita dirogol.
Beribu-ribu kitab meliputi pelbagai disiplin ilmu terutama sains yang mengangkat kegemilangan tamadun Islam, telah dibakar dan sebahagiannya dijual kepada pedagang Eropah ketika itu. Masjid dan surau turut dimusnahkan. Imam dan bilal dibunuh. Tiada lagi suara azan berkumandang. Umaiyuddin akhirnya menyesal dan sedih kerana tidak menyangka tujuan beliau bersubahat yang sekadar untuk mendapat kuasa telah membawa musibah besar kepada Baghdad dan rakyatnya. Umaiyiyuddin akhirnya mati kerana tertekan tetapi semuanya sudah terlambat.
Peradaban yang dibina 500 tahun oleh empayar Bani Abasiyah dimusnahkan oleh pencerobohan Monggol. Dalam mana-mana sejarah tamadun, pengkhianatan adalah ancaman besar.
Melaka yang suatu ketika mempunyai empayar yang disegani, tumbang angkara pengkhianatan si kitul. Empayar Melayu Kedah juga jatuh kepada Siam disebabkan pengkhianatan pemimpin Melayu.
Sesungguhnya agenda pengkhianatan tidak pernah padam termasuk dalam era moden. Pada dekad ini, pengkhianatan berlaku dalam bentuk yang lebih kompleks sifatnya. Kuasa asing sentiasa mendambakan ada tokoh dalam negara yang boleh dipergunakan untuk agenda mereka. Betapa licik kuasa besar memanipulasi termasuk menerusi buku Confessions of an Economic Hitman oleh John Perkins. Itu belum menyentuh penyusupan agenda agama atas nama liberalisme, gerakan seks sejenis dan sebagainya.
Di Malaysia, bibit-bibit pengkhianatan semakin jelas sejak sedekad lalu. Daripada usaha menggugat asas kenegaraan sehinggalah mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal Malaysia. Siapa pengkhianat itu, tidak penting. Persoalan lebih penting apakah kita mahu membenarkan berlaku satu lagi kisah pengkhianatan?
No comments:
Post a Comment