Pages

Sunday, February 21, 2010

KMM hanya ciptaan SB - Mangsa ISA

Oleh Hafiz Baki

TAIPING, 19 Jun (Hrkh)-- Mangsa tahanan ISA, Solehan Abdul Ghafar yang didakwa menjadi Timbalan kepada Kumpulan Mujahidin (Militan) Malaysia (KMM) memberitahu kepada pihak Suhakam hari ini kumpulan tersebut tidak pernah ujud tetapi nama itu telah dilebelkan kepada mereka oleh Pegawai Cawangan Khas Polis (SB).

Beliau tidak tahu menahu langsung tentang adanya kumpulan yang bernama KMM sebelum ini tetapi SB memberi nama tersebut setelah beliau berdialog dengan pihak polis dalam satu soal siasat ketika di peringkat awal beliau ditahan. "Setelah kami mengakui pernah pergi ke Afganistan membantu Mujahidin di sana menentang Russia, SB telah menamakan kami sebagai KMM yang diketuai oleh Nik Adli Nik Abdul Aziz," ujar beliau.

Namun beliau tidak menafikan menubuhkan persatuan alumnai untuk bekas pelajar Malaysia yang pernah belajar di India dan Pakistan dan diberi nama Halaqah Pakindo.

Walau bagaimanapun, kata beliau, pertubuhan itu berdaftar secara sah.

Tambah Solehan, beliau hanya mengenali 16 orang sahaja tahanan ISA yang ditangkap kerana dikatakan KMM sedangkan ramai lagi yang ditangkap kerana dituduh KMM tidak dikenali.

Ujar beliau, kebanyakan mereka yang pada asalnya ditangkap kerana KMM ditukar pula menjadi anggota Jamaah Islamiah (JI).

Mangsa tidak tahu KMM

Sementara itu seorang lagi mangsa, Osman Mohd Ali turut memberitahu Suhakam beliau ditahan kerana terlibat dalam gerakan untuk mewujudkan negara Islam Asia melalui cara kekerasan adalah rekaan semata-mata.

"Tak pernah terlintas dalam diri saya untuk mengancam negara, malahan tidak tahu langsung adanya gerakan tersebut.

"Hanya selepas disiasat sahaja, saya mendengar nama gerakan itu yang diberitahu oleh pihak penyiasat.

"Polis juga kata mungkin saya tidak tahu mengenai perkara tersebut tetapi pemimpin saya tahu mengenainya.

"Tapi masalahnya saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan sebagai pemimpin saya," kata Osman.

Beliau yang bekerja dengan Majlis Daerah Hulu Langat sebelum ini memberitahu Suhakam beliau tidak pernah terlibat dalam apa-apa pertubuhan melainkan jamaah di masjid Banting atau surau JBA Sungai Manggis apabila datang bersolat jamaah.

Kata beliau, terbukti jelas beliau dikhianati apabila cerita terhadapnya banyak ditokok tambah seperti mendaki gunung Ledang dengan kawan-kawan dan berenang di taman rekreasi dikatakan menjalani latihan ketenteraan.

No comments: