Pages

Friday, August 28, 2015

Beri nama 'Saiton' elak anak meninggal awal


27 OGOS 2015
Saiton
Saiton

PALEMBANG - INDONESIA. Baru-baru ini, media Indonesia mendedahkan beberapa pemilik nama unik termasuk seorang warga Banyuwangi yang bernama Tuhan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bernama 'Tuhan' disuruh tukar nama]

Kini muncul pula nama unik lain iaitu Saiton, (syaitan).

Memetik laporan media Indonesia, lelaki yang bernama Saiton itu berasal dari Palembang, Sumatera Selatan.

"Saiton lahir di Paldas Banyuasin, 10 Febuari 1976. Nama tersebut, kata dia, merupakan pemberian kedua orang tuanya, Cik Nang dan Saimubah," petik laporan Liputan 6 Com.

Menurut  Saiton,  pemberian nama itu  diberikan kepadanya kerana dari 12 orang adik beradiknya yang lahir, dua orang sahaja yang kekal hidup. Sepuluh yang lain meninggal tatkala berusia 5 hingga 7 tahun.

"Jika hidup semua, kami keluarga besar dengan 13 saudara. Saat saya lahir, orang tua saya berfikiran saya  tidak mungkin hidup. Kemungkinan kerana kesal anaknya meninggal terus dan sebab itulah orang tua saya menganggap saya sedang diganggu syaitan.

"Kerana itu, saya diberi  nama Saiton. Orang tua saya mungkin sudah 'kepalang bingung mau kasih nama apa' (sudah pening untuk memberi nama) ," jelas Saiton.

Bercerita  lanjut, Saiton berkata ketika dia berusia tiga tahun, dia pernah memprotes namanya itu, sebab namanya itu sering kali dijadikan sebagai bahan ejekan rakan-rakannya, lantas katanya kedua-dua orang tuanya menggantikan nama itu menjadi Iskandar.

Namun setelah diganti namanya, Saiton sakit dan ia berpanjangan selama tiga tahun. Pelbagai cara digunakan orang tuanya untuk mengubatinya namun tetap tidak berhasil.

"Orang tua saya panik dan beranggapan, bahawa saya juga tidak akan panjang umur sepertimana saudara saya yang lain, akhirnya saya dibawa kepada orang pintar dan disarankan untuk mengembalikan nama saya seperti sediakala.

"Setelah pakai nama Saiton semula, alhamdulillah saya sembuh dan hingga kini tidak ada penyakit yang parah menimpa saya," ujarnya.

Terowong kereta api paling panjang dunia


28 Ogos 2015 1:19 AM

Image result for Terowongan kereta api paling panjang didunia
Infografik Terowong

BERN 27 Ogos – Pembinaan terowong kereta api paling dalam dan panjang di dunia di Switzerland, selesai dijalankan dan akan dibuka pada 1 Jun tahun depan.
Terowong yang dikenali sebagai Terowong Dasar NEAT Gotthard mempunyai jarak 56.3 kilometer, sekali gus mengatas rekod Terowong Seikin di Jepun yang berukuran 23.3 kilometer yang menghubungkan pulau Honshu dan utara pulau Hokkaido.
Menurut portal Mail Online, terowong Gotthard yang menghubungkan Zurich ke Milan akan mengambil masa perjalanan selama dua jam dan 50 minit, sekali gus mengurangkan masa sebanyak hampir sejam bagi tempoh perjalanan ketika ini.
Jelas laporan tersebut, pembinaan terowong itu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Switzerland menelan kos kira-kira AS$10.3 bilion (RM42.7 bilion) dan mengambil masa hampir 20 tahun sejak mula dibina pada 1996.
Ketua Pegawai Eksekutif AlpTransit Gotthard, Renzo Simoni berkata, lebih 2,000 pekerja terlibat dalam kerja-kerja menggali dan mengeluarkan tanah bagi mencapai kedalaman 2,438 meter dari permukaan bumi.
Beliau menambah, pembinaan terowong itu amat penting bagi menghubungkan bandar-bandar utama seperti Milan dan Zurich memandangkan pengguna jalan raya perlu melalui kawasan pergunungan yang akan mengambil masa lama.
“Dengan pembinaan terowong ini, kereta api boleh bergerak pada kelajuan lebih 241 kilometer sejam dan menjimatkan banyak masa penumpang untuk sampai ke destinasi masing-masing.
“Selepas terowong ini dibuka, ia akan menjadi rangkaian kereta api paling selamat di dunia,” katanya.
Ujian keselamatan perjalanan kereta api yang pertama akan dilaksanakan pada Oktober ini dan kira-kira 1,000 orang akan dipilih untuk merasai pengalaman pertama laluan baharu itu pada Januari depan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/terowong-kereta-api-paling-panjang-dunia-1.129300#sthash.OugosnEh.dpuf

Wednesday, August 26, 2015

Mesej dalam botol tertua di dunia ditemui di Jerman

SELASA, 25 OGOS 2015 @ 8:38 AM

POSKAD dalam botol yang terdampar dekat pantai di Jerman. - Foto AP


PULAU AMRUM: Saintis berkata mesej dalam botol yang terdampar dekat pantai di Jerman berkemungkinan mesej tertua seumpamanya di dunia. Botol itu ditemui seorang wanita ketika dia sedang berjalan di tepi pantai di Pulau Amrum dekat Laut Utara, Jerman, April lalu. Poskad dalam botol itu antara lain meminta sesiapa saja yang menemuinya untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Biologi Marin United Kingdom (UK). Ditulis dalam bahasa Jerman, Belanda dan Inggeris, nota itu turut menjanjikan ganjaran sebanyak satu syiling kepada sesiapa saja yang memulangkannya. Mengikut persatuan itu, botol berkenaan dihanyutkan oleh pengkaji terkemuka, George Parker Bidder pada awal tahun 1900 sebagai sebahagian daripada kajian marin mengenai arus lautan. Bidder menghanyutkan lebih 1,000 botol antara tahun 1904 dan 1906. Botol itu direka untuk terapung supaya ia boleh dibawa arus laut dalam. Persatuan Biologi Marin sudah mengemukakan mesej dalam botol itu untuk diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai yang tertua di dunia. Rekod dunia sedia ada milik mesej yang ditemui di barat Kepulauan Shetland pada Julai 2013. Mesej itu berusia 99 tahun dan 43 hari. -AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77125

Remaja Hamil Disahkan Mati, Didakwa Hidup Semula


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 7:15 AM

SEORANG remaja yang telah disahkan meninggal dunia, hidup semula selepas dia dikebumikan selama sehari di Honduras.
Neysi Perez, 16, dikebumikan dalam keranda dan simen konkrit sebelum bapanya, Rudy Gonzales terdengar jeritan dari kubur anak wanita itu ketika menziarahi pusara berkenaan.
Bagaimanapun apabila kuburnya digali semula, ahli keluarga mangsa mendapati Neysi tidak lagi bernyawa manakala kaca pada kerandanya telah pecah.
Selain itu, ahli keluarga remaja itu mendapati tangan mangsa berdarah dipercayai akibat mengetuk keranda berkenaan.
Gonzales memberitahu, anak perempuannya yang sedang hamil terjatuh di rumah ketika ingin ke tandas.
Jelasnya, apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan remaja berkenaan telah meninggal dunia sebelum mereka mengkebumikan wanita berkenaan.

Senapang terbang

Riyadh: Dalam filem Harry Potter anda boleh melihat aksi ahli sihir terbang dengan menggunakan penyapu ajaib, tetapi lain pula ceritanya dengan sekumpulan individu di negara ini.
Kumpulan berkenaan mempunyai satu hobi yang pelik iaitu ‘terbang’ dengan menggunakan senapang.
Hobi ekstrem itu mula popular sejak beberapa bulan lalu dan sekumpulan pemuda berkumpul hampir setiap minggu untuk melakukan aktiviti berkenaan.
Jurugambar, Mohamed Al Hwaity merakam aktiviti kumpulan berkenaan.
Mohamed berkata, hobi itu sangat bahaya kerana mereka menggunakan senapang dan peluru hidup.
Menurutnya, kumpulan itu biasanya berkumpul di satu kawasan lapang yang luas dan meletakkan permaidani di atas tanah.
“Mereka akan memegang senapang secara terbalik dan menghalakan muncung senjata itu ke tanah.
“Selepas memegang senapang dengan erat, mereka akan melompat sambil menarik picu.
“Daya tujah akibat letupan senapang itu menolak mereka lebih tinggi ke udara seperti sedang terbang,” katanya.
Menurutnya, aktiviti itu sangat bahaya kerana peluru boleh mengenai kaki atau mereka yang berada berhampiran kawasan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:00 AM


AKSI seorang lelaki yang ‘terbang’ dengan menggunakan senapang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72989#sthash.0jZHTvfN.dpuf

Tuhan kena tukar nama

Surabaya: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mahu seorang lelaki yang bernama Tuhan menukar namanya kerana nama itu tidak layak diberi kepada manusia.
Ketua MUI Jawa Timur, Abdussomad Bukhori berkata, mengikut agama Islam penggunaan nama Tuhan pada manusia adalah tidak tepat.
“Tuhan disembah oleh manusia dan sebab itu nama itu tidak sesuai diberi kepada manusia kerana boleh menyebabkan syirik.
“Nama Tuhan hanya boleh digunakan sekiranya ada penambah nama di awal seperti Abdullah yang bermakna hamba Allah,” katanya.
Abdussomad mendesak lelaki itu menukar namanya dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya dia masih berdegil.
“Sekiranya dia masih enggan menukar nama saya menggesa pihak berkuasa tidak mengeluarkan kad pengenalan kepadanya,” tegasnya.
Sementara itu, Tuhan berkata, dia tetap bertegas enggan menukar namanya kerana yakin ibu bapanya memberi nama itu atas sebab yang baik.
“Sekiranya nama saya ditukar, semua dokumen seperti kad pengenalan, surat nikah dan dokumen lain perlu juga ditukar,” katanya.
Bapa kepada dua anak ini juga melihat tiada keperluan untuk menukar namanya kerana nama itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 7:48 AM

KAD pengenalan diri milik Tuhan.

Tangan bayi pramatang sebesar cincin


AGENSI - tangan Mollie (dalam bulatan) muat untuk disarung cincin perkahwinan ibu bapanya.


HULL, Britain – Seorang bayi perempuan yang dilahirkan pramatang memiliki saiz badan sangat kecil sehingga tangannya muat dengan cincin perkahwinan bapanya.
Mollie Perrin yang dilahirkan pada 27 April lalu iaitu 13 minggu lebih awal telah disahkan menghadapi masalah pada plasenta ketika dalam kandungan.
Doktor memberitahu kedua-dua ibu bapanya, Stephanie, 34, dan James, 38, bahawa bayi mereka mungkin tidak akan hidup melebihi tiga minggu.
Sejurus dilahirkan, Mollie dengan berat hanya 482 gram dan lebih kecil daripada satu pek gula telah dikejarkan ke pusat rawatan neonatal.
Dia bagaimanapun berjaya mencabar jangkaan doktor apabila pada usia tiga minggu, ibu bapanya sudah boleh memegangnya untuk kali pertama. Kini, pada usia 17 minggu, Mollie sudah boleh dibawa pulang ke rumah.
“Saya tidak percaya Mollie akhirnya kembali kepada kami untuk dibawa pulang,” ujar James. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3jsNpkCou 
Hakcipta terpelihara 

Karavan klasik jadi rumah mewah bergerak



AGENSI - KARAVAN klasik ini telah diubah suai menjadi rumah mudah alih mewah untuk ke pelbagai destinasi.


COLORADO, Amerika Syarikat – Sebuah syarikat di sini telah mengubah suai sebuah karavan klasik menjadi rumah mudah alih yang mewah dengan reka bentuk hiasan terkini.
Kenderaan pada tahun 1965, Whale Tail atau turut dikenali sebagai Orvis Airstream itu dahulunya digunakan sebagai rumah tumpangan untuk memburu dan memancing di Tasik Goose, Oregon.
Bagaimanapun, selepas diubah suai, karavan berkilat dan klasik itu sedia untuk apa juga perjalanan.
Pokok Hickory semula jadi telah digunakan sebagai perabot dalam kenderaan itu, manakala lantai daripada pokok oak tua melengkapkan kepingan tembaga vintaj pada ruang udara untuk memasak.
Ruang makan pula dilengkapi dengan kerusi daripada kulit asli dan menawarkan pemandangan menarik melalui tingkap yang besar.
Dengan ruang yang terhad, bilik tidur utama pula direka lengkap dengan kemudahan simpanan tambahan di bawah tilam.
“Kenderaan klasik dengan kemasan mewah sebesar ini dijual pada harga sekitar AS$250,000 (RM1.05 juta) ” ujar Eksekutif Akaun syarikat Timeless Travel Trailers, Chris Gartenmann. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3jrtmlXcp 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, August 25, 2015

Kereta api jadi rumah

Agensi
Stuttgart (Jerman): Ramai penyewa mempunyai pengalaman buruk dengan tuan rumah, tetapi pelajar ini mengambil jalan penyelesaian yang boleh dikatakan berani dan pelik.

Selepas bertengkar dengan tuan rumahnya, Leonie Muller, 23, membuat keputusan tidak lagi mahu menyewa tempat tinggal, sebaliknya memilih hidup sepenuh masa atas kereta api.

Leonie membawa semua barangan keperluannya bersama-samanya di atas kereta api – dari pakaian serta laptop sehinggalah barangan kelengkapan dandanan diri serta buku teks.

Pelajar Universiti Tübingen di tengah Jerman itu mandi di dalam bilik air kereta api dan berkata, dia kini memerlukan pas bulanan bernilai RM1,600 untuk menaiki mana-mana kereta api – murah sedikit daripada sewa rumah sebanyak RM1,900 sebulan yang dibayarnya sebelum ini.

Teman lelakinya berada di Cologne. Dengan menginap atas kereta api memudahkannya melawat kekasihnya selain ibunya di Berlin dan menghadiri kelas di universiti.



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 7:44 AM

LEONIE melakukan kerja sekolah dalam kereta api.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72763#sthash.LsOQlbJY.dpuf

Kucing jadi pelajar sekolah tinggi


25 OGOS 2015Kucing jadi pelajar sekolah tinggi
Bubba turut menyertai sesi pembelajaran.


CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT . Seekor kucing diterima untuk menjadi pelajar di sebuah sekolah tinggi di San Jose kerana sering dilihat sentiasa merayau-rayau di sekitar bilik darjah sekolah terbabit.

Kucing yang diberi nama Bubba diterima untuk menjadi pelajar San Jose Leland High School malah haiwan comel itu juga diberi kad pengenalan pelajar.

Bagaimanapun, guru sekolah tersebut terpaksa belajar bagaimana untuk mendisiplinkan Bubba yang kebiasaannya akan menunggu di hadapan pintu kelas, membuat bising dan mengganggu sesi pembelajaran.

Memetik laporan The Independent, pemilik kucing itu, Amber Marienthal berkata, kucingnya yang diambil dari pusat jagaan haiwan pada tahun 2009 sering merayau-rayau di sekitar sekolah tersebut yang terletak bersebelah rumahnya.

"Kucing tersebut bukan hanya merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah malah turut memasuki kelas ketika sesi persekolahan", katanya.

Tambahnya lagi, Bubba tidak akan pulang ke rumah sehinggalah sesi persekolahan tamat.

Dalam pada itu, Amber juga turut berharap agak kucingnya itu akan menamatkan 'pembelajarannya' dan pihak sekolah akan membenarkan Bubba menyertai majlis konvokesyen kelak.

Bubba menjadi 'pelajar’ pilihan sekolah tersebut dan turut menghiasi muka depan majalah dan akhbar sekolah.

Malah, kucing comel tersebut juga mempunyai 6,000 peminat di laman Facebook miliknya.

Mangsa buli dapat tangan bionik



AGENSI - JOSH (tengah) cuba menggerakkan tangan bionik yang dicipta khas untuknya.


FIFE, Britain – Seorang kanak-kanak lelaki di sini yang sering menjadi mangsa buli kerana dilahirkan cacat tanpa tangan kanan, kini mampu menarik nafas lega selepas mendapat tangan bionik baru-baru ini.
Sebelum ini, Josh Cathcart, 9, dari Dalgety Bay, Fife, sering diejek oleh rakan-rakan sekelasnya kerana hanya mempunyai satu tangan.
Situasi itu menimbulkan kerisauan kepada ibu bapanya, Clare dan James menyebabkan mereka mencari jalan penyelesaian bagi membantu mengembalikan keyakinan diri Josh.
Mereka bertemu dengan syarikat Touch Bionics yang mencipta sebuah tangan bionik, i-limb Quantum sekali gus menjadikan Josh sebagai kanak-kanak pertama di Britain menggunakan inovasi baharu itu.
Josh memberitahu, tangan bionik tersebut sedikit berat tetapi kini dia mampu menggerakkan jari, malah menggenggam tangan untuk memegang pisau.
“Saya boleh membuka penutup botol dan menyediakan makanan. Malah, saya boleh membina permainan Lego menggunakan tangan bionik ini selain dapat memakai seluar dengan menggunakan kedua-dua belah tangan,” kata Josh. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3jm45DTTq 
Hakcipta terpelihara 

Kisah lelaki ‘belah’ gunung untuk pendekkan jalan ke hospital difilemkan


AGENSI - Dashrath menghabiskan masa selama 22 tahun memahat gunung untuk jalan di lereng gunung selepas kematian isterinya.


NEW DELHI – Industri perfileman Bollywood mengadaptasi kisah seorang lelaki yang tidak berputus asa memahat lereng sebuah gunung selama 22 tahun untuk dijadikan jalan selepas kematian isterinya.
Lelaki itu, Dashrath Manjhi berbuat demikian selepas kehilangan isterinya, Falguni pada tahun 1959 kerana gagal mendapatkan bantuan perubatan berikutan jarak hospital yang jauh.
Perjalanan ke bandar berdekatan dari rumahnya adalah sejauh 54.7 kilometer (km).
Disebabkan itu, dia mahu memendekkan jarak laluan tersebut kepada 15km sahaja dengan meratakan lereng gunung berkenaan agar penduduk kampung lain tidak menerima nasib yang sama sepertinya.
“Kisah Dashrath sangat indah dan menyentuh hati.
“Dia menjadikan tiada yang mustahil untuk dilakukan dan segala usahanya telah membantu ribuan orang,” kata aktor, Nawazuddin Siqqiduim yang membawakan watak Dashrath.
Dashrath dikatakan bekerja sendirian dari pagi hingga ke malam meratakan kawasan lereng gunung dengan hanya menggunakan tukul dan pahat selama 22 tahun sehingga berjaya menamatkan kerjanya itu pada 1982.
Dia meninggal dunia pada 2007 kerana kanser dan diberi penghormatan oleh kerajaan dengan istiadat pengkebumian negeri di Bihar. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3jm3s4oBO 
Hakcipta terpelihara 

Salji musim panas di Kanada


GAMBAR dikongsi pengguna Twitter, Alison Wong menunjukkan salji turun ketika musim panas di bandar Calgary, Kanada pada Jumaat lalu.


ALBERTA, Kanada – Penduduk Bandar Calgary di sini gembira apabila salji tiba-tiba turun walaupun semasa musim panas berikutan penurunan suhu mendadak yang menukar air hujan menjadi ais.
Fenomena itu berlaku sepanjang hari pada Jumaat lalu.
Ramai penduduk tempatan berkongsi gambar di laman Twitter yang memaparkan timbunan salji di sekitar rumah mereka.
“Hanya di Alberta,” kata seorang pengguna Twitter yang memaparkan gambar kawasan letak kereta sebuah pasar raya dilitupi salji putih.
“Calgary, kampung halaman saya yang cantik, salji turun pada setiap bulan sepanjang tahun,” tulis seorang lagi pengguna Twitter bernama Alison Wong yang menggambarkan penduduk di sini tidak terkejut melihat fenomena tersebut.
Antara gambar yang dikongsi menunjukkan dua lelaki berseluar pendek memegang bendera Kanada di kawasan hutan berhampiran Taman Negara Banff yang menerima salji setebal sekurang-kurangnya 5 sentimeter.
Pegawai kaji cuaca sebelum ini meramalkan hujan sepanjang hari pada Jumaat lalu dengan suhu tertinggi sekitar 8 darjah Celsius tetapi suhu yang semakin menurun menyebabkan air hujan membeku dan bertukar menjadi salji.
Salji paling lebat turun di sekitar pergunungan Rocky khususnya di Banff, manakala kawasan-kawasan rendah mula menerima salji nipis pada tengah hari.
Menjelang Sabtu lalu, keadaan kembali normal dengan matahari bersinar sepanjang dan suhu pula mencecah 15 darjah Celsius. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3jm3cCugw 
Hakcipta terpelihara 

400 individu paling kaya lesap AS$182 bilion


AGENSI - Bursa Saham New York mengalami kerugian terbesar sepanjang tahun ini pada Jumaat lepas.


NEW YORK – Kalangan orang terkaya di dunia hilang AS$182 bilion (RM774 bilion) sepanjang minggu lalu ekoran kejatuhan pasaran saham yang didorong kebimbangan mengenai ekonomi China dan kurangnya produktiviti.
Bursa Saham New York mengalami kerugian terbesar sepanjang tahun ini pada Jumaat lepas dengan indeks industri Dow menjunam lebih 500 mata.
Walaupun bilionair-bilionair berkenaan mempunyai kekayaan mencukupi untuk menampung kerugian itu, sebahagian golongan mereka hilang sejumlah besar wang dalam masa beberapa jam sahaja.
Secara keseluruhannya, 400 orang terkaya dunia rugi AS$182 bilion (RM774 bilion) sepanjang minggu lepas dengan AS$76 bilion (RM323 bilion) hilang pada Jumaat lalu, menurut Bloomberg.
Wang paling banyak lesap pada hari berkenaan ialah milik pengasas Facebook, Mark Zuckerberg.
Disebalik keuntungan yang diperolehnya awal minggu lalu, Zuckerberg rugi mencecah AS$2 bilion (RM8.5 bilion) pada Khamis lalu dan AS$1.9 bilion (RM8.08 bilion) keesokan harinya.
Individu ketiga terkaya di dunia, Warren Buffett rugi AS$3.6 bilion (RM15.31 bilion) pada minggu lepas apabila syarikatnya, Berkshire Hathaway, merosot lima peratus.
Bilionair yang mencatat peratusan kehilangan kekayaan terbesar pula ialah ahli perniagaan China, Lu Guanqiu yang kehilangan 7.6 peratus asetnya. Kekayaan Guanqiu kini dianggarkan berjumlah AS$7.9 bilion (RM33.6 bilion).
Kelembapan pasaran saham pada Jumaat lalu antara lain berpunca daripada laporan pemerintah China bahawa sektor perkilangan negara itu berada pada paras terendah dalam tempoh enam tahun pada Julai lalu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3jm3GZ5Ys 
Hakcipta terpelihara 

Monday, August 24, 2015

Nama saya Tuhan


Banyuwangi, Indonesia: Setiap kali lelaki berusia 42 tahun ini memperkenalkan dirinya, pasti ramai yang menyangka dia hanya bergurau.

Mana tidaknya, lelaki yang bekerja sebagai tukang kayu ini mempunyai nama yang unik iaitu Tuhan.

Tuhan berkata, kerana namanya itu, dia terpaksa menunjukkan kad pengenalan dirinya bagi meyakinkan itu adalah nama sebenarnya.

Menurutnya, nama itu diberi ibu bapanya dan sehingga kini dia tidak tahu mengapa dia diberi nama Tuhan.

“Enam adik-beradik saya mempunyai nama biasa, tetapi hanya saya yang mempunyai nama yang unik.

“Saya tidak pernah bertanya dan ibu bapa saya juga tidak pernah memberitahu sebab memilih nama ini sehinggalah mereka meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah berasa namanya itu pelik sehinggalah kisahnya itu menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

“Kebelakangan ini ramai yang bertanyakan nama saya dan mereka mahu melihat kad pengenalan saya kerana tidak percaya nama saya adalah Tuhan.

“Tidak sangka, saya terkenal kerana nama ini,” jelasnya.

Menurutnya, dia sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan.

Sementara itu, isterinya, Husnul Hotimah berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan nama unik suaminya itu.

“Orang sering bergurau bahawa saya isteri Tuhan dan rumah Tuhan ada di bandar ini,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:22 AM

KAD pengenalan Tuhan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72538#sthash.aar9CcPV.dpuf

Remaja jadi calon presiden Amerika Syarikat


Remaja jadi calon presiden Amerika Syarikat

22 OGOS 2015


WALLINGFORD - AMERIKA SYARIKAT. Seorang remaja  lelaki yang berusia 15 tahun mendaftar sebagai calon Presiden Amerika Syarikat , sekaligus menjadi calon termuda untuk kerusi tersebut.

Remaja lelaki yang bernama Brady Olson, 15, yang berasal dari Wallingford, Iowa dilaporkan mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan Amerika Syarikat bulan lepas petik laporan New York Times.

Menurut ayahnya, anaknya itu adalah seorang pelajar sekolah menengah yang 'belum bekerja, belum mempunyai anak dan belum menikah.

Sementara menurut Olson dia menyertai persaingan merebut kerusi Presiden AS kerana untuk membawa masa depan yang lebih baik untuk Amerika.

"Saya sungguh-sungguh tidak ingin melihat Hillary Clinton, Jeb Bush, atau Donald Trump di Rumah Putih, jadi saya ingin mencuba melawan mereka,” katanya.

Hebatnya anak muda ini kini trending di Twitter dan mendapat dukungan sembilan peratus suara bayangan dari North Carolina.

Kanak-kanak tiga kemaluan dibedah


Kanak-kanak tiga kemaluan dibedah

23 OGOS 2015
 Kanak-kanak penghidap Diphallia tersebut bersama ibunya. - Foto DNA India

MUMBAI - INDIA. Seorang kanak-kanak penghidap Diphallia yang mempunyai tiga kemaluan dan ketiadaan lubang punggung berjaya dibedah bulan lepas.

Laporan DNA India mengatakan kanak-kanak dua tahun berkenaan berasal dari Jaunpur dan dibawa ke Mumbai oleh ibunya untuk dirawat di hospital Sion.

Menurut doktor, walaupun kanak-kanak tersebut mempunyai tiga kemaluan, hanya satu yang berfungsi sebagai saluran urin (kencing).

"Dua dari kemaluan tersebut juga mempunyai tisu erectile yang berfungsi untuk seksual dan satu lagi hanya mempunyai fungsi asas," kata doktor Paras Kothari.

"Ada ketulan tulang lembut dan tisu di kawasan kemalauan tersebut bersambung, dan anus (lubang punggung) juga tiada.

"Dua tahun lepas, doktor di Uttar Pradesh melakukan pemotongan (incision) di sebelah kiri bawah perutnya, dikenali sebagai Colostomy Procedure untuk membenarkan najis keluar dari sebuah tiub," kata doktor bedah paedatrik berkenaan.

Anomali Diphallia sangat jarang berlaku dan cuma seratus kes berkenaan direkodkan sejak 1609.

Dalam pembedahan enam jam bulan lepas, tulang lembut di kemaluan kanak-kanak berkenaan dikeluarkan, bersama-sama kemaluan yang hanya mempunyai fungsi asas.

Dua lagi kemaluan yang berfungsi sepenuhnya pula digabungkan dengan membalut selaput kulit di sekeliling organ tersebut.

"Satu laluan untuk anus juga dicipta melalui rektum kanak-kanak tersebut untuk pembuangan najis," kata doktor Vishesh Dixit.

Dixit juga memberitahu, kanak-kanak tersebut akan menjalani satu lagi pembedahan akhir bulan ini untuk menutup potongan di perutnya yang dibuat dua tahun lepas.

"Fungsi seksual dan kesuburan kanak-kanak tersebut tidak akan terganggu," kata doktor.

‘Harta karun’ tersorok


Gunung Berapi Taupo simpan emas, perak

Ahli geosaintis mendedahkan, takungan air bawah tanah yang terletak
Ahli geosaintis mendedahkan, takungan air bawah tanah yang terletak di zon Gunung Berapi Taupo, New Zealand, mengandungi logam emas dan perak yang banyak. AGENSI
AUCKLAND, New Zealand 23 Ogos - Ahli geosaintis mendedahkan bahawa takungan air bawah tanah di zon Gunung Berapi Taupo, New Zealand kaya dengan kandungan emas dan perak.
Laman web UPI.com melaporkan, emas berkualiti tinggi bersama beberapa jenis logam lain yang dilaporkan terhasil daripada mampatan magma dan tekanan air panas itu terdapat di beberapa buah kawasan di gunung berapi berkenaan.
Pengkaji menyatakan, sehingga kini mereka berjaya mengenal pasti enam lokasi takungan air bawah tanah dipercayai mempunyai kandungan emas dan perak yang banyak.
Bagaimanapun, teknologi yang diperlukan bagi mengeluarkan emas dan perak berkenaan dengan selamat masih belum dicipta.
Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh jurnal Geothermics, kandungan emas dan perak yang terdapat di dalam perut bumi Gunung Berapi Taupo boleh mencecah harga berbilion ringgit mengikut harga pasaran.
Seorang ahli geosains dari Universiti Utah, Stuart Simmons berkata, teknologi bagi mengeluarkan mineral bernilai tinggi itu perlu dibangunkan terlebih dahulu kerana ketika ini tidak terdapat peralatan seumpamanya di dunia.
Simmons mencadangkan, proses membawa keluar emas dan perak tersebut dilakukan menggunakan gabungan paip bawah tanah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-harta-karun-8217-tersorok-1.127816#sthash.ViaalubE.dpuf

Saturday, August 22, 2015

Belum masa dunia kiamat

Washington: Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) semalam menafikan khabar angin yang menjadi viral, kononnya dunia akan kiamat bulan depan.
Dalam satu kenyataannya, agensi itu menyifatkan dakwaan beberapa pihak kononnya asteroid akan melanggar bumi September ini sebagai tidak berasas.
Khabar angin itu mula disebarkan oleh satu komuniti berkait dengan teori kitab Bible yang mendakwa asteroid itu akan melanggar bumi antara 15 dan 28 September.
Mereka memberi amaran, kejadian yang diramal berlaku berhampiran Puerto Rico itu akan menyebabkan kemusnahan besar di sepanjang pantai Atlantik dan Teluk Amerika Syarikat, Mexico serta sebahagian besar Amerika Tengah dan Selatan.
Menurut program pengawasan objek hampir dengan bumi NASA, tidak terdapat asteroid atau komet yang boleh memberi kesan kepada bumi pada masa terdekat ini.
Ramalan itu disebarkan oleh paderi Efraid Rodriguez yang mendakwa dia mengetahui mengenai hari kiamat itu daripada Tuhan.
Menurutnya, asteroid itu akan terhempas di lautan dan menyebabkan gempa bumi yang kuat dan tsunami. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:07 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72216#sthash.2QKycqHa.dpuf

Friday, August 21, 2015

Harta Karun Sepanyol Abad Ke-18 Ditemui Di Florida Amerika Syarikat


Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 7:43 PM
Inilah rupa syiling emas Sepanyol abad ke-18 yang ditemui oleh pencari harta karun di perairan Florida, Amerika Syarikat hujung Julai lalu. Nilai semasa harta karun berkenaan melebih AS$4 juta.

MIAMI: Pencari harta karun telah menemui kepingan syiling emas Sepanyol era abad ke-18 yang kini dianggarkan bernilai AS$4.5 juta di pasaran semasa.
Menurut laporan BBC, sejumlah 350 kepingan syiling emas telah ditemui dan dikutip berhampiran pantai Florida.
Emas berkenaan tidak terusik selama lebih 300 tahun sehinggalah ia ditemui hujung bulan lalu.
Syiling emas berkenaan merupakan sebahagian daripada kargo milik 11 kapal Sepanyol yang tenggelam ketika ribut petir ketika dalam perjalanan pulang dari Cuba ke Sepanyol semula.
Ini adalah penemuan terbesar kedua tahun ini. Jun lalu, para pencari harta karun telah menemui 50 keping wang syiling emas yang dianggarkan bernilai AS$1 juta.
Menurut laporan BBC itu lagi, 350 kepingan wang syiling emas yang baru ditemui itu adalah di kawasan air cetek tidak jauh dari pantai dan ditembusi pasir.
Di bawah undang-undang negeri Florida, kerajaan negeri mempunyai hak sehingga 20% ke atas sebarang keuntungan daripada hasil jualan harta karun yang ditemui di perairannya.
Pencari harta karun yang menemui syiling emas itu, William Bartlett dipetik oleh akhbar-akhbar tempatan sebagai berkata, dia hanyalah seorang pencari harta karun yang sentiasa bermimpi akan satu hari menemui harta sebegini rupa. Dia enggan mendedahkan berapakah jumlah yang akan diperolehinya hasil daripada penemuan tersebut.
Sementara itu, Brent Brisben, yang diberi hak perlesenan untuk mencari harta karun dari kapal Sepanyol itu pula berkata, antara artifek lain yang ditemui oleh pasukannya ialah sembilan keping syiling emas Sepanyol yang jarang-jarang ditemui dan memiliki nilai yang tinggi di pasaran semasa.
Setakat ini hanya terdapat 20 keping syiling emas dari siri berkenaan yang masih wujud di dunia sehingga yang terbaru ditemui Julai lalu.
"Kepingan syiling emas ini adalah edisi terhad yang dibuat atas arahan Raja Sepanyol," kata Brisben.

Nenek lahirkan kembar empat


Annegret Raunigk diiktiraf sebagai wanita paling tua melahirkan
Annegret Raunigk diiktiraf sebagai wanita paling tua melahirkan bayi kembar empat di dunia iaitu ketika berusia 65 tahun. AGENSI
BERLIN 18 Ogos – Seorang nenek diiktiraf sebagai wanita paling tua melahirkan bayi kembar empat di dunia pada usia 65 tahun, lapor Mail Online.
Annegret Raunigk bersama bayinya yang dilahirkan pramatang semasa kandungannya berusia enam bulan setengah, telah pun dibenarkan pulang selepas lebih tiga bulan ditahan di hospital.
Menurut doktor dari Jabatan Neonology Hospital Berlin Charite, anak kembar Raunigk yang dilahirkan melalui proses pembedahan, pada mulanya mengalami masalah berat badan tidak normal berbanding bayi biasa.
“Satu-satunya bayi perempuan kembar berkenaan iaitu Neeta memiliki berat badan 700 gram sahaja ketika dilahirkan dan terpaksa diletakkan di dalam inkubator.
“Namun, semuanya berjalan dengan lancar selepas Neeta bersama tiga abangnya iaitu Bence, Fjonn, dan Dries membesar dengan baik dan sihat dalam masa yang amat singkat,” kata Profesor Christoph Buhrer.
Tambah Buhrer, walaupun dibenarkan pulang ke rumah, kembar tersebut perlu menjalani rawatan fisioterapi bagi memastikan mereka benar-benar sihat.
Pakar memberi amaran, jika kembar tersebut gagal membesar dengan baik mereka berkemungkinan besar bakal menghidap pelbagai jenis penyakit kronik seperti sakit jantung, usus serta komplikasi mata, dan otak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nenek-lahirkan-kembar-empat-1.125959#sthash.CPsEBzqV.dpuf

Kanak-kanak 5 tahun pukau binatang


20 Ogos 2015 1:34 AM
 

Seekor arnab tertidur selepas dipukau dan diusap Han Jiaying yang baru berusia lima tahun. AGENSI


Han Jiaying menunjukkan kemampuannya memukau haiwan sehingga tertidur dalam rancangan realiti Amazing Chinese, baru-baru ini. AGENSI

SHANGHAI 19 Ogos – Seorang kanak-kanak di China mempunyai ‘kuasa luar biasa’ apabila berkemampuan memukau haiwan sehingga tertidur yang membuatkan ramai terpegun dengan kebolehannya.
Daily Mail melaporkan, Han Jiaying yang baru berusia lima tahun bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk menidurkan anjing, ayam, arnab, dan katak, malah reptilia seperti iguana dengan hanya mengusap dan menggunakan suaranya sahaja.
Ketika melakukan sebuah persembahan dalam satu program realiti Amazing Chinese di Shanghai baru-baru ini, Jiaying bukan sahaja membuatkan penonton kagum, malah rancangan itu turut dimuat naik dalam laman sosial sehingga mendapat beratus ribu ‘like’.
Lebih 250,000 orang telah menonton video tersebut di seluruh dunia dengan pelbagai reaksi yang rata-ratanya melahirkan rasa kagum dengan bakat dimiliki oleh si cilik tersebut.
Dalam rancangan itu, lima ekor haiwan tertidur sejurus Jiaying mengangkat tangan selepas kesemua binatang tersebut dilihat seolah-olah dipukau.
Kesemua haiwan itu tidur dengan nyenyak sebelum dikejutkan satu persatu selepas beberapa minit dengan satu jeritan oleh kanak-kanak tersebut.
Pada mulanya, anjing dan iguana bangun kemudian mula berjalan-jalan di atas pentas sebelum dikawal oleh Jiaying.
Menurut Jiaying, dia sedar mempunyai bakat itu apabila berjaya ‘memukau’ seekor katak di tadikanya setahun yang lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-5-tahun-pukau-binatang-1.126347#sthash.RkEE2rrT.dpuf

Kanak-kanak 
suka makan objek


Lily Mullins dari Britain mempunyai tabiat pemakanan yang pelik, gemar makan benda yang tidak sepatutnya dimakan. AGENSI
LONDON 20 Ogos - Seorang kanak-kanak perempuan Britain mempunyai tabiat pemakanan yang pelik apabila dia didapati gemar makan benda yang tidak sepatutnya dimakan seperti tuala mandi, sofa dan berus tandas, sebaliknya menolak makanan yang biasa dimakan individu normal.
Keadaan pelik yang dihadapi Lily Mullins, 2, dikenali sebagai Pica, keadaan yang disifatkan sebagai kecenderungan untuk makan objek bukan makanan dan tidak mempunyai sebarang nutrisi, lapor portal Mirror.co.uk.
Mullins tidak akan berhenti menggigit termasuk berus, tempat pancuran, pakaian dan banyak lagi benda lain, malah pernah cuba makan berus tandas.
Keadaan itu membuatkan ibu Mullins, Kate Ovington, 27, perlu sentiasa memantau pergerakan anaknya itu.
“Saya sentiasa bimbang akan apa yang akan cuba dilakukan dan dimakannya selepas ini. Saya cuba memberitahu Mullins bahawa objek yang cuba dimakannya akan membuatkannya rasa sakit, namun kanak-kanak itu tidak memahaminya.
“Dia suka mencabut rambut daripada anak patungnya dan akan memakannya, malah apabila saya melarang, Mullins akan menyorokkan rambut itu di bawah bantalnya sehingga ada kalanya saya sedar saya telah terlambat untuk menghalangnya,’’ kata ibu kepada dua anak tersebut.
Ovington berkata, anaknya mula mempunyai tabiat pemakanan pelik itu, sejak dia masih bayi lagi dan pada awalnya dia tidak mempedulikan perbuatan anaknya itu kerana menyangka ia hanya sifat ingin tahu anaknya seperti kanak-kanak lain.
Sementara itu, jurucakap bagi Challenging Behaviour Foundation berkata, Pica merujuk kepada makan objek yang tidak boleh dimakan, seperti batu, duit syiling, syampu, pakaian dan puntung rokok.
Tambahnya, punca yang mengakibatkan Pica masih tidak jelas dengan kajian bagi mengenal pasti punca tabiat itu agak terhad.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-8232-suka-makan-objek-1.126750#sthash.oB30f5gZ.dpuf

Saintis bangunkan otak dalam makmal


WASHINGTON 19 ogos – Sekumpulan saintis di Universiti Ohio State mendakwa berjaya membangunkan otak manusia bersaiz kecil yang hampir sempurna di dalam sebuah makmal, dalam satu langkah yang boleh membawa kemajuan besar untuk merawat penyakit neurologi.
Imej dikeluarkan Universiti State Ohio memaparkan bahagian otak yang dibangunkan institusi itu. AFP
Menurut laporan universiti itu, seorang profesor bernama Rene Anand sedang membangunkan otak berkenaan yang bersamaan saiz janin lima bulan di dalam piring petri di makmal.
“Walaupun apa yang kami bangunkan bukanlah menyerupai otak sebenar, organ itu mempunyai hampir semua sel genetik seperti di dalam otak,” ujar universiti berkenaan.
Menurut universiti itu, otak yang bersaiz sebiji kacang pea tersebut meliputi pelbagai jenis sel termasuk dari semua bahagian utama otak, namun tidak mengandungi sel dari sistem vaskular.
Otak itu dibangunkan daripada sel kulit manusia dan didakwa merupakan otak yang paling sempurna dari jenisnya.
Anand membentangkan kajiannya itu di sebuah acara kesihatan ketenteraan di Florida semalam.
Universiti Ohio State memaklumkan, Anand dan rakan penyelidiknya telah mengasaskan sebuah syarikat sebagai permulaan bagi mengkomersialkan sistem pertumbuhan otak itu.
Menurut beliau, organ yang dibangunkannya membolehkan ujian dilakukan dengan lebih mudah dan beretika bagi mengetahui kesan dadah terhadap otak, ketika para saintis lain masih mencari penawar untuk penyakit otak dan gangguan sistem saraf. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/saintis-bangunkan-otak-dalam-makmal-1.126385#sthash.MpNJ31qJ.dpuf