28 Ogos 2015 1:19 AM
Infografik Terowong
BERN 27 Ogos – Pembinaan terowong kereta api paling dalam dan panjang di dunia di Switzerland, selesai dijalankan dan akan dibuka pada 1 Jun tahun depan.
Terowong yang dikenali sebagai Terowong Dasar NEAT Gotthard mempunyai jarak 56.3 kilometer, sekali gus mengatas rekod Terowong Seikin di Jepun yang berukuran 23.3 kilometer yang menghubungkan pulau Honshu dan utara pulau Hokkaido.
Menurut portal Mail Online, terowong Gotthard yang menghubungkan Zurich ke Milan akan mengambil masa perjalanan selama dua jam dan 50 minit, sekali gus mengurangkan masa sebanyak hampir sejam bagi tempoh perjalanan ketika ini.
Jelas laporan tersebut, pembinaan terowong itu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Switzerland menelan kos kira-kira AS$10.3 bilion (RM42.7 bilion) dan mengambil masa hampir 20 tahun sejak mula dibina pada 1996.
Ketua Pegawai Eksekutif AlpTransit Gotthard, Renzo Simoni berkata, lebih 2,000 pekerja terlibat dalam kerja-kerja menggali dan mengeluarkan tanah bagi mencapai kedalaman 2,438 meter dari permukaan bumi.
Beliau menambah, pembinaan terowong itu amat penting bagi menghubungkan bandar-bandar utama seperti Milan dan Zurich memandangkan pengguna jalan raya perlu melalui kawasan pergunungan yang akan mengambil masa lama.
“Dengan pembinaan terowong ini, kereta api boleh bergerak pada kelajuan lebih 241 kilometer sejam dan menjimatkan banyak masa penumpang untuk sampai ke destinasi masing-masing.
“Selepas terowong ini dibuka, ia akan menjadi rangkaian kereta api paling selamat di dunia,” katanya.
Ujian keselamatan perjalanan kereta api yang pertama akan dilaksanakan pada Oktober ini dan kira-kira 1,000 orang akan dipilih untuk merasai pengalaman pertama laluan baharu itu pada Januari depan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/terowong-kereta-api-paling-panjang-dunia-1.129300#sthash.OugosnEh.dpuf
No comments:
Post a Comment