Imej dikeluarkan Universiti State Ohio memaparkan bahagian otak yang dibangunkan institusi itu. AFP
Menurut laporan universiti itu, seorang profesor bernama Rene Anand sedang membangunkan otak berkenaan yang bersamaan saiz janin lima bulan di dalam piring petri di makmal.
“Walaupun apa yang kami bangunkan bukanlah menyerupai otak sebenar, organ itu mempunyai hampir semua sel genetik seperti di dalam otak,” ujar universiti berkenaan.
Menurut universiti itu, otak yang bersaiz sebiji kacang pea tersebut meliputi pelbagai jenis sel termasuk dari semua bahagian utama otak, namun tidak mengandungi sel dari sistem vaskular.
Otak itu dibangunkan daripada sel kulit manusia dan didakwa merupakan otak yang paling sempurna dari jenisnya.
Anand membentangkan kajiannya itu di sebuah acara kesihatan ketenteraan di Florida semalam.
Universiti Ohio State memaklumkan, Anand dan rakan penyelidiknya telah mengasaskan sebuah syarikat sebagai permulaan bagi mengkomersialkan sistem pertumbuhan otak itu.
Menurut beliau, organ yang dibangunkannya membolehkan ujian dilakukan dengan lebih mudah dan beretika bagi mengetahui kesan dadah terhadap otak, ketika para saintis lain masih mencari penawar untuk penyakit otak dan gangguan sistem saraf. – AFP