Keadaan pelik yang dihadapi Lily Mullins, 2, dikenali sebagai Pica, keadaan yang disifatkan sebagai kecenderungan untuk makan objek bukan makanan dan tidak mempunyai sebarang nutrisi, lapor portal Mirror.co.uk.
Mullins tidak akan berhenti menggigit termasuk berus, tempat pancuran, pakaian dan banyak lagi benda lain, malah pernah cuba makan berus tandas.
Keadaan itu membuatkan ibu Mullins, Kate Ovington, 27, perlu sentiasa memantau pergerakan anaknya itu.
“Saya sentiasa bimbang akan apa yang akan cuba dilakukan dan dimakannya selepas ini. Saya cuba memberitahu Mullins bahawa objek yang cuba dimakannya akan membuatkannya rasa sakit, namun kanak-kanak itu tidak memahaminya.
“Dia suka mencabut rambut daripada anak patungnya dan akan memakannya, malah apabila saya melarang, Mullins akan menyorokkan rambut itu di bawah bantalnya sehingga ada kalanya saya sedar saya telah terlambat untuk menghalangnya,’’ kata ibu kepada dua anak tersebut.
Ovington berkata, anaknya mula mempunyai tabiat pemakanan pelik itu, sejak dia masih bayi lagi dan pada awalnya dia tidak mempedulikan perbuatan anaknya itu kerana menyangka ia hanya sifat ingin tahu anaknya seperti kanak-kanak lain.
Sementara itu, jurucakap bagi Challenging Behaviour Foundation berkata, Pica merujuk kepada makan objek yang tidak boleh dimakan, seperti batu, duit syiling, syampu, pakaian dan puntung rokok.
Tambahnya, punca yang mengakibatkan Pica masih tidak jelas dengan kajian bagi mengenal pasti punca tabiat itu agak terhad.