Pages

Tuesday, July 15, 2014

Motosikal terbang di pasaran 2016


MOTOSIKAL terbang dikenali sebagai Helicycle yang boleh digunakan di darat dan juga boleh terbang akan mula dipasarkan pada 2016. - AGENSI
AMSTERDAM 14 Julai - Sebuah syarikat permotoran Belanda membuka era baharu dalam dunia pengangkutan apabila mengeluarkan motosikal terbang pertama di dunia yang akan dijual di pasaran pada 2016.
Portal berita Mail Online melaporkan motosikal yang diberi nama Pal-V One Helicycle atau The Helicycle dihasilkan selama bertahun-tahun oleh syarikat Pal-V dan berkeupayaan untuk digunakan di darat atau di udara.
Malah penggunaan motosikal dwifungsi itu adalah sah di sisi undang-undang dan pemiliknya perlu mendapatkan lesen khas iaitu Sijil Penerbangan Sukan.
MOTOSIKAL Helicycle keluaran firma Pal-V memerlukan landasan kira-kira 150 meter untuk berlepas dan boleh mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer sejam di udara. - AGENSI
Menurut firma Pal-V, The Helicycle boleh mencecah kelajuan sehingga 180 kilometer sejam dan mampu mencapai kelajuan 0 hingga 96 kilometer sejam di bawah lapan saat apabila bergerak di darat.
Jelasnya, kenderaan tersebut mempunyai dua tempat duduk dan reka bentuknya kelihatan seperti helikopter serta memerlukan landasan sejauh 164 meter untuk berlepas.
"The Helicycle menggunakan enjin 230 kuasa kuda yang dijana oleh petrol dan pemandunya boleh terbang sejauh 354 kilometer pada ketinggian 1,219 meter atau dipandu sejauh 1,207 kilometer di darat.
"Tidak seperti kereta terbang, The Helicycle perlu mengambil masa 10 minit untuk proses mengeluarkan kipas secara automatik sebelum terbang," kata firma tersebut.
The Helicycle akan dijual di pasaran pada harga 230,000 pound (RM1.2 juta) seunit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140715/lu_11/Motosikal-terbang-di-pasaran-2016#ixzz37UBum6nb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: