Pages

Tuesday, July 15, 2014

4,000 pembesar suara di Masjidil Haram


SEBANYAK 4,000 pembesar suara dipasang dalam Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya bagi membolehkan azan didengari sejauh 9 kilometer di Mekah. - AGENSI
MEKAH 14 Julai - Sebanyak 4,000 pembesar suara dipasang di seluruh kawasan Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya bagi memastikan bunyi berkualiti semasa waktu puncak pada bulan Ramadan dan musim haji.
Menurut pengarah operasi Masjidil Haram, Faras Al-Saadi, pembesar suara turut dipasang di koridor dan dataran luar masjid, lapor laman web, arabnews.com, semalam.
"Sebanyak 656 pembesar suara dipasang di koridor timur masjid dan di aras baharu yang dibuka untuk tawaf ketika bulan Ramadan.
"Satu jawatankuasa teknikal telah memilih pembesar suara yang paling berkualiti selepas meneliti sistem pembesar suara dari seluruh dunia," katanya.
Tambah Faras, dengan menggunakan pembesar suara berkualiti, azan boleh didengari dalam jarak sehingga sembilan kilometer dari Gaza Street hingga ke Ibrahim Khalil Street.
"Pembesar suara yang dipasang di luar juga bercirikan tahan angin, bermaksud bunyi akan jelas kedengaran walaupun dalam cuaca buruk.
Pembesar suara yang dipasang di bahagian puncak Menara Jam Mekah membolehkan azan didengari sejauh tujuh kilometer, manakala lampu berwarna hijau serta putih turut dipasang ketika azan berkumandang yang boleh dilihat dalam jarak sehingga 30 kilometer untuk jemaah yang mengalami cacat pendengaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140715/lu_07/4000-pembesar-suara-di-Masjidil-Haram#ixzz37UB6zt1L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: