LEBIH sejuta umat Islam di 64 negara di seluruh dunia menyambut ketibaan Ramadan bermula 29 Jun lalu.

Ibadah puasa pada kali ini dikatakan paling mencabar dan menguji kesabaran orang Islam kerana berhadapan dengan Ramadan paling panas.

Selain itu, penduduk Islam di hemisfera utara pula terpaksa berpuasa sehingga 20 jam manakala umat Islam di hemisfera selatan menjalani ibadah puasa selama 10 jam.

Bagi penduduk negara bergolak di rantau Arab, Ramadan pada kali ini sememangnya suram buat mereka.

Namun, mereka tetap tabah menjalani Rukun Islam Ketiga itu walaupun serba kekurangan dan kedaifan dari segi tempat tinggal, makanan mahupun keperluan asas.


Hanya tinggal kenangan

Bagi bekas guru, Mahmoud al-Amine, kemeriahan Ramadan tidak lagi dapat dirasai selepas kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) menawan utara Syria sejak beberapa bulan lalu.

“Acara berkumpul bersama keluarga ketika berbuka puasa hanya tinggal kenangan. Sebelum perang saudara tercetus, kami sering menikmati pelbagai juadah tradisi ketika iftar.

“Bagaimanapun, segalanya telah berubah kini. Kebanyakan penduduk mengalami masalah kekurangan bekalan makanan,” katanya.


Penduduk Gaza diselubungi ketakutan

Penduduk di Gaza juga berdepan cabaran paling getir kerana mereka terpaksa menjalani ibadah puasa dalam suasana diselubungi ketakutan selepas roket Israel kembali menghujani wilayah itu.

Menurut Abu Amin Abu Shawish, keluarganya terpaksa mencari perlindungan di tenggara Genting Gaza selepas keadaan semakin meruncing akibat serangan terbaharu berkenaan.
"Ramadan pada kali ini paling mencabar berbanding sebelum ini. Kami terpaksa menjamah makanan yang disimpan selama berhari-hari tanpa memikirkan risiko kepada kesihatan.

"Kebanyakan penduduk juga tidak dapat beribadat di masjid sepanjang malam kerana serangan menggila rejim Zionis sejak beberapa hari lalu," katanya.


Penduduk Mesir berbuka dalam gelap
Berada di bawah kepimpinan baharu Presiden Abdel Fattah al-Sisi seakan tidak membawa sebarang perubahan kepada penduduk Mesir.

Kebanyakan penduduk mula merungut selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga tarif elektrik menjelang Ramadan.

Khaled Hinnawi di Kaherah berkata, kenaikan terbaharu harga gas asli dan minyak telah memberi kesan besar kepada 94 juta penduduk di negara itu.

"Kebiasaannya, kami akan menggantung pelbagai jenis lampu dan hiasan untuk menyambut Ramadan, namun amalan tradisi itu terpaksa dihentikan akibat krisis bekalan kuasa elektrik di seluruh negara.

"Saya terpaksa berbuka puasa dalam keadaan gelap ketika awal Ramadan lalu dan ia berlarutan hingga kini," menurutnya.

Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan dengan meriah dalam suasana yang aman damai berbanding masyarakat yang kurang bernasib baik di negara Islam lain.