Pages

Tuesday, July 15, 2014

‘Mati’ hidup semula


Manila: Seorang budak perempuan berusia tiga tahun yang diisytiharkan mati secara klinikal mengejutkan ahli keluarganya apabila terjaga ketika upacara pengebumiannya selepas ibu saudaranya kebetulan memeriksa keranda kanak-kanak itu.

Kanak-kanak dari Zamboanga del Sur, selatan Filipina itu sepatutnya dikebumikan pagi keesokannya selepas majlis keagamaan diadakan di Aurora.


Bagaimanapun, bapa saudaranya yang membuka keranda berkenaan untuk melihat wajahnya terkejut apabila melihat kepala budak itu bergerak.

Kanak-kanak yang namanya dirahsiakan itu didapati mempunyai denyutan nadi dan bernafas walaupun baru diisytiharkan mati oleh pihak hospital pada pagi sama.


Kejadian itu sempat dirakam anggota keluarga menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik ke Internet.


Jurucakap polis Inspektor Heidil Teelan berkata, kanak-kanak berkenaan mengalami demam panas yang teruk selama beberapa hari sebelum dibawa ke klinik, Jumaat lalu.

“Ketika itu doktor dan kakitangan hospital mengesahkan dia meninggal dunia apabila nadinya tidak lagi berdenyut. Dia diisytiharkan mati secara klinikal pada jam 9 pagi,” katanya.

Menurut laporan Philippine Star, pihak hospital menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarganya untuk dikebumikan.

“Kami tidak dapat mengesahkan status sebenar budak berkenaan, namun berdasarkan pemeriksaan awal pihak polis yang diarahkan menyiasat, memang nyata kanak-kanak itu masih dalam keadaan koma.

“Dia kini berada di hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

No comments: