Pages

Wednesday, August 22, 2012

Etnik Rohingya: 'Kami tidak akan lupakan Arakan'


Abib Syah Hassan Shah
Abib Syah Hassan Shah
Mohamad Sahfi Habibullah
Mohamad Sahfi Habibullah
SENAI – "Walaupun di mana kami berada, tidak sesekali akan melupakan Arakan."
"Kami bersyukur dilayan baik di sini,” kata seorang pelarian Rohingya, Abib Syah Hassan Shah yang tinggal di selatan Semenanjung ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Abib yang berusia 33 tahun telah menjadi pelarian sejak berumur lapan tahun lagi. Terpisah dengan ibu bapa dan adik-beradiknya selepas kampung halamannya menjadi sasaran junta tentera negara itu.

Menurut Abib, walaupun ketika itu dia masih kecil, namun atas bantuan penduduk kampungnya yang turut melarikan diri, telah memasuki Thailand sebelum ke Malaysia, seterusnya mendapat perlindungan di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

 
“Ketika melarikan diri, saya sebatang kara kerana terpisah dengan keluarga. Saya kemudiannya mendapat khabar bahawa kedua ibu bapa saya sudah berada di Malaysia membuatkan saya nekad untuk mencari mereka dengan bantuan kenalan yang berada di Kuala Lumpur.
“Dua tahun saya mencari akhirnya saya berjumpa mereka. Kami bersyukur setelah lama terpisah namun masih mampu bertemu semula.
"Kini lebih 20 tahun kami berada di Malaysia dan tidak pernah pulang ke Arakan,” katanya.
Mengimbas sambutan Aidilfitri di Arakan, Abib mengakui ia tidak semeriah di negara ini.
Mereka menyambutnya secara sederhana, namun tetap memasak makanan tradisi Rohingya seperti 'ludisida' dan 'cemai’.
“Pada pagi Aidilfitri, kami juga berkesempatan menziarahi kediaman penduduk kampung dan berjalan beramai-ramai.
"Namun disebabkan peperangan, kami perlu sentiasa berjaga-jaga, tidak seperti di sini, kita bebas untuk ke mana-mana sahaja," ujarnya.
Bagi, Abdul Rahim Abu Hassan, 34, berkata, sepanjang 10 tahun berada di negara ini, dia mengakui begitu merindukan kampung halamannya di Arakan.
"Disebabkan pergolakan yang tidak berkesudahan, saya terpaksa melupakan hasratnya itu.
“Sewaktu saya masih kecil, pergolakan tidak seteruk sekarang. Apabila berakhirnya Ramadan, penduduk kampung akan bergotong–royong menyembelih lembu dan memasak kari daging untuk dimakan bersama ludisida dan cemai.
"Tiada kuih raya dihidangkan kepada tetamu seperti di sini,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Shafi Habibullah, 52, mengakui kagum dengan keamanan yang dikecapi di negara ini.
“Saya telah berada di Malaysia dan mendapat perlindungan UNHCR sejak 28 tahun lalu.
"Dalam tempoh itu, saya tidak pernah kembali di Arakan, namun tetap menghubungi kenalan dan saudara mara di sana.
"Paling menyedihkan apabila ada adik-beradik dan keluarga saya terbunuh dalam pergolakan itu,” katanya.

No comments: