Wednesday, August 22, 2012
Russia kecewa Damsyik terlalu berhati-hati
MOSCOW: Russia semalam mempertahankan sekutunya, Syria, daripada ancaman luar selepas Presiden AS, Barack Obama, memberi amaran terhadap kemungkinan rejim Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia ke atas penentangnya.
Kenyataan Obama itu meningkatkan kemungkinan berlaku tindakan ketenteraan satu pihak ke atas kerajaan Syria.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata tidak wajar ada mana-mana pihak campur tangan di Syria.
“Satu-satunya tugas yang perlu dilakukan negara luar ialah mencipta keadaan yang membolehkan dialog bermula,” katanya kepada media selepas bertemu Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil, semalam.
Kelmarin, Obama memberi amaran Syria mungkin berdepan “kesan besar” jika ia mula menggunakan simpanan senjata kimianya.
Pemilikan senjata berbahaya itu hanya diakui dimiliki rejim Bashar untuk kali pertama bulan lalu.
Kata Obama, dia tidak mengarahkan sebarang tindakan ketenteraan ke atas Bashar “setakat ini,” tetapi penggunaan senjata kimia “mungkin mengubah perkiraannya secara drastik.” Selepas memberi kenyataan semalam, Lavrov enggan membenarkan media mengemukakan soalan, serta tidak menyebut secara khusus mengenai Obama atau senjata kimia. Sementara itu, Lavrov menyatakan kekecewaannya terhadap sikap Syria yang terlalu berhati-hati untuk memulakan rundingan secara langsung dengan pemberontak. “Polisi semasa Damsyik tidak mencukupi untuk menamatkan konflik sejak 17 bulan lalu dan pendekatan lebih baik diperlukan,” katanya. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment