Pages

Wednesday, August 22, 2012

Muslim NY bukan ganas




         
NEW YORK: Selepas enam tahun mengintip komuniti Islam, Unit Demografi Jabatan Polis New York (NYPD) gagal mengesan sebarang petunjuk bagi membolehkan siasatan keganasan dijalankan, kata jabatan itu, semalam.

Dalam pengakuan mahkamah itu, polis berkata, risikan berkenaan dijalankan - antara lain - melalui curi dengar perbualan dan analisis katalog di masjid sekitar New York. Unit Demografi - sebuah unit rahsia di bawah polis bandar raya itu - adalah pusat program perisikan yang ditubuhkan dengan bantuan Agensi Perisikan Pusat (CIA).


Mereka membina pangkalan data memuatkan maklumat mengenai tempat tinggal penduduk Islam serta aktiviti mereka, termasuk di mana mereka membeli-belah, bekerja dan beribadat. Polis, kata dokumen itu, menyamar dalam kumpulan pelajar Islam, selain meletakkan penyalur maklumat di masjid dan memantau sebarang syarahan agama. “Polis berharap Unit Demografi boleh bertindak sebagai sistem amaran awal bagi keganasan.

“Jika polis mendapat sebarang maklumat, misalnya ada pengganas Afghanistan di bandar raya ini, pihak berkuasa tahu di mana dia menyewa bilik, membeli barang keperluan dan menonton sukan,” kata dokumen itu. Namun, pada 28 Jun, penolong ketua unit itu, Thomas Galati, mengakui tiada sebarang bukti menunjukkan komuniti Muslim di bandar raya itu mempunyai kaitan dengan pengganas. NYPD adalah jabatan polis terbesar di AS dan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, membantu menubuhkan unit antipengganas sebagai model bagi AS menangani ancaman selepas insiden 11 September. - AP

No comments: